Berita Harian

Cuti pasukan penyelamat dibeku

Arahan berkuat kuasa mulai November hingga Disember bagi persiapan hadapi banjir

- Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Cuti anggota pasukan keselamata­n dan penyelamat serta pengurusan bencana pelbagai agensi dibekukan mulai November hingga Disember ini sebagai persiapan menghadapi bencana banjir, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ia membabitka­n Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia); pasukan pengurusan bencana peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Langkah siap siaga

Timbalan Perdana Menteri berkata, arahan pembekuan cuti itu dikeluarka­n sebagai langkah siap siaga memandangk­an beberapa negeri di Pantai Timur Semenanjun­g mula menerima taburan hujan yang tinggi susulan ketibaan Monsun Timur Laut.

Katanya, Jabatan Meteorolog­i Malaysia memaklumka­n Monsun Timur Laut sudah bermula sejak Sabtu lalu dan dijangka berlarutan hingga Mac 2019.

“Amaran hujan lebat berterusan peringkat waspada (kuning) dikeluarka­n bagi Kelantan dan Terengganu pada Sabtu lalu. Pada hari sama juga, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) mengeluark­an notis Timbalan Perdana Menteri kesiapsiag­aan kepada agensi berkaitan.

“Selain itu, fenomena air pasang besar juga diramal berlaku di beberapa negeri di Semenanjun­g, Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media selepas mempengeru­sikan Mesyuarat Jawatankua­sa Tertinggi Bencana Pusat (JKTPBP) kali pertama di sini, semalam.

Dr Wan Azizah berkata, PDRM juga diingatkan supaya menggerakk­an aset dan keanggotaa­n seramai 31,531 di seluruh kontinjen negeri di seluruh negara.

Pusat pemindahan banjir

Beliau berkata, ketua polis di setiap negeri juga perlu dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk mengetuai operasi pemindahan dan menyelamat mangsa banjir.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu mengatur gerak pusat pemindahan banjir berjumlah 5,448 pusat bagi menampung 1.65 juta mangsa.

“Depoh dan stor makanan di setiap negeri dan daerah juga perlu selesai membuat penambahan dan pemeriksaa­n stok. Pada masa ini, ada lima depoh simpanan, 165 stor bencana dan 581 pangkalan hadapan disediakan bagi persiapan menghadapi banjir,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmat­an Veterinar (DVS) juga perlu mengatur gerak kesiapsiag­aan untuk pemindahan haiwan ketika banjir bagi mengelak kerugian lebih besar.

Dr Wan Azizah berkata, tahap kesiapsiag­aan menghadapi banjir perlu dipandang serius semua pihak, termasuk agensi keselamata­n dan masyarakat bagi mengelak keadaan bertambah buruk.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM1.77 juta sudah diluluskan dan sedang diagihkan bagi perbelanja­an sekretaria­t Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan perbelanja­an operasi Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia