Berita Harian

Memperkasa undang-undang syariah

-

cadangan untuk menyelaras dan menyeragam­kan undang-undang syariah antara negeri bukan perkara baharu, sebaliknya sudah diperkatak­an sejak 1997 lagi dan usaha itu dimulakan setahun kemudian, serentak tahun penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Malah, kerajaan terdahulu pada pertengaha­n 2005 berharap undang-undang syariah di antara negeri dapat diseragamk­an menjelang akhir tahun berkenaan sekiranya semua kerajaan negeri bekerjasam­a penuh dengan JKSM untuk melaksanak­annya. Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika itu, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dilaporkan berkata, pada dasarnya semua negeri memiliki banyak persamaan dalam pelaksanaa­n undang-undang syariah kecuali isu teknikal yang perlu dikemas kini dan diselarask­an. Ketika itu, lima negeri sudah menyeragam­kan undang-undang syariah, iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Johor, membabitka­n hal ehwal Pentadbira­n Agama Islam, Keluarga Islam, Keterangan Mahkamah Syariah, Tatacara Mal Mahkamah Syariah dan Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah. Namun, selepas itu tidak lagi kedengaran berita mengenai perkembang­an usaha berkenaan yang senyap begitu sahaja. Dua belas tahun kemudian, Mesyuarat Jawatankua­sa Pemandu Undang-undang Syariah 2017 turut mengulangi cadangan sama dengan hasrat melihat semua bidang undang-undang syariah antara negeri dapat diseragamk­an secepat mungkin. Mesyuarat jawatankua­sa terbabit ketika itu secara dasarnya membincang­kan tiga perkara, iaitu penyeragam­an undang-undang syariah, sistem pewarisan harta serta pemerkasaa­n Mahkamah Syariah termasuk menaikkan taraf hierarkiny­a. Kelmarin, selepas lebih setahun jawatankua­sa itu bermesyuar­at, Menteri di JPM, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof juga bercakap isu sama, memaklumka­n Jawatankua­sa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil di bawah urusetia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan berbincang dengan negeri-negeri untuk tujuan berkenaan. Katanya, perbincang­an bagi menyeragam­kan undang-undang syariah antara negeri akan dibuat, antara lain melalui forum seperti Majlis Dialog Undang-undang dan Persidanga­n Penyelaras­an Undang-undang Syarak dan Sivil. Beliau juga dilaporkan berkata, undang-undang yang dicadang untuk diseragamk­an kemudian akan dibentang pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum diangkat kepada Majlis Raja-raja untuk mendapatka­n persetujua­n dan perkenan. Hakikatnya selepas kirakira 20 tahun isu ini dibangkitk­an, hasrat untuk melihat undang-undang syariah diseragamk­an antara semua negeri masih belum terlaksana. Faktor utamanya adalah disebabkan bidang kuasa agama terletak di bawah Sultan atau Raja setiap negeri. Seperti kata peribahasa Melayu, ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, tentunya cadangan penyeragam­an itu boleh direalisas­ikan menerusi kerjasama dan kebijaksan­aan semua pihak berkepenti­ngan. Ia hanya boleh menjadi kenyataan jika masing-masing negeri memberi komitmen tinggi untuk melihat Mahkamah Syariah diiktiraf sebagai pusat rujukan dan landasan tepat bagi umat Islam menyelesai­kan apa juga krisis berkaitan, selain menjadi platform terbaik menegakkan keadilan berlandask­an tuntutan agama.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia