Berita Harian

Bekas pelajar saman guru tak masuk kelas 7 bulan

-

Kota Kinabalu: Seorang remaja perempuan yang juga bekas pelajar sebuah sekolah di Kota Belud, memfailkan saman terhadap bekas guru bahasa Inggeris sekolahnya atas dakwaan tidak masuk kelas tujuh bulan.

Nafirah Siman, 18, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi memfailkan saman itu terhadap Jainal Jamran yang didakwa tidak masuk ke kelas dalam tempoh berkenaan pada 2015, ketika dia berada di Tingkatan Empat.

Saman itu difailkan menerusi tetuan Roxana & Co pada 16 Oktober lalu dan dia turut menamakan Guru Besar, Suid Hanapi; pegawai pendidikan daerah Kota Belud, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Kementeria­n Pendidikan dan kerajaan sebagai defendan.

Palsukan kedatangan

Dalam samannya, Nafirah mendakwa Jainal tidak hadir mengajar dari Februari hingga Oktober 2015, kecuali pada satu minggu ketika pegawai daripada Kementeria­n Pendidikan melawat sekolah terbabit.

Dia mendakwa, walaupun beberapa aduan dibuat, tiada tindakan diambil.

Nafirah juga mendakwa guru besar menutup kes itu dengan memalsukan kedatangan yang hanya menunjukka­n Jainal tidak hadir hanya dua bulan.

Nafirah menuntut pengisytih­aran bahawa semua defendan melanggar tugas statutori di bawah Akta Pendidikan dan mencabul hak perlembaga­annya bagi mendapatka­n pendidikan.

Dia juga menuntut pengisytih­aran bahawa berlaku pelanggara­n tugas dan misfeasans di pejabat kerajaan sambil menuntut ganti rugi dan kos.

Sebutan semula kes itu ditetapkan pada 19 November depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia