Berita Harian

Suara politik pengarang sudah lama bergema

Ramai tidak sedar keberanian kritikan dalam karya penulis hebat

- Oleh Siti Haliza Yusop

Seruan supaya pengarang tanah air lebih berani ketika berkarya semakin nyaring selepas negara melalui perubahan tampuk pemerintah­an Mei lalu.

Keterbukaa­n kerajaan hari ini dilihat sebagai kesempatan terbaik buat pengarang ‘memperoleh’ kembali kebebasan mereka untuk menyentuh mengenai pelbagai hal serta membuat kritikan politik secara terbuka di dalam karya.

Namun persoalann­ya, adakah benar tidak ramai pengarang tanah air yang berani membuat kritikan politik secara terbuka melalui karya selama ini?

Polemik ini nampaknya turut terseret pada Wacana Novel Ikarus kendalian editor, Ainunl Muaiyanah Sulaiman yang menampilka­n pengarang, Zainal Rashid Ahmad, Hafizah Iszahanid dan Wan Nor Azriq Wan Mokhtar di White Box, Publika, di sini.

Zainal Rashid melihat Ikarus sebagai naskhah yang sudah menebus ‘ketakutan’ hampir tiga dekad dunia sastera apabila menjadi sebuah karya yang membuat kritikan politik semata-mata.

Karya penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write), Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir itu disifatkan oleh Zainal Rashid sebagai satu penanda aras bagi melihat bagaimana kritikan politik boleh dibawa secara kritikal ke dalam karya sastera.

Kritikan politik dalam karya ini menurut Zainal Rashid dibawa lebih awal oleh Sasterawan Negara (SN), Datuk Seri A Samad Said dan SN, Datuk Dr Anwar Ridhwan, masing-masing melalui karya Hujan Pagi pada 1987 dan Naratif Ogonshoto (2001).

“Jika Ikarus ditulis pada 1970-an, ia mungkin dianggap kesinambun­gan kepada Putera Gunung Tahan oleh Pak Sako, tetapi melepasi tempoh berkenaan, iaitu pada era 1980-an dan selepas 1990-an, hanya dua naskhah mengkritik hal politik iaitu Hujan Pagi dan Naratif Ogonshoto.

Kritik sejak dahulu

“Ketajaman penulisan SM Zakir melalui Ikarus dibentuk daripada pemahamann­ya mengenai falsafah Barat serta falsafah dan karya Islam dari Timur yang diimbangi dengan sangat baik.

“Bukan menjadi minat orang sastera untuk bercakap mengenai politik jadi saya harap pembaharua­n ini diteruskan tanpa perlu rasa takut apatah lagi tradisi sastera itu sendiri adalah tradisi politik,” katanya.

Ketakutan pengarang seperti disebut Zainal Rashid itu bagaimanap­un disanggah Wan Nor Azriq yang menyifatka­n pengarang tanah air sebenarnya sudah lama tampil berani dalam karya.

“Agak berlebihan apabila menyebut seolah-olah selama ini tidak ada pengarang yang pernah menulis mengenai politik.

“Sastera Malaysia itu sendiri sangat politikal dan kritikan sosial itu menjadi teras utamanya sejak dahulu lagi,” katanya.

Wan Nor Azriq berkata, kritikan politik dalam karya sudah lama dibawa pengarang tanah air cuma perbezaann­ya sama ada ia disampaika­n secara jelas atau tidak.

“Naratif Ogonshoto misalnya tidak langsung memperkata­kan isu politik, tetapi kita masih dapat menikmatin­ya sebagai sebuah novel.

“Namun, bolehkah sesebuah novel dikatakan bagus atau tidak hanya bersandark­an persoalan sama ada ia berani menyebut mengenai sesuatu secara jelas atau tidak?” ajunya.

Hal itu turut dipersetuj­ui Hafizah yang menyifatka­n, keberanian pengarang tanah air dalam membicarak­an hal politik secara terbuka ini tidak begitu disedari kerana masyarakat tanah air tidak begitu membaca.

“Tulang-tulang Berserakan oleh SN Datuk Usman Awang misalnya tidak menyimpulk­an dalam naskhah itu siapa yang salah dan siapa yang benar, sebaliknya ‘memulangka­n’ kepada pembaca untuk berfikir.

“Namun, kritikan sebegini tidak begitu disedari bukan saja kerana masyarakat kurang membaca, malah naskhah seperti itu kurang dikaji sarjana,” katanya.

 ?? [FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN/BH] ?? Dari kiri Wan Nor Azriq, Zainal Rashid, SM Zakir, Hafizah dan Ainuni Muaiyanah pada Wacana Novel Ikarus anjuran Institut Terjemahan & Buku Malaysia serta Morne Art Gallery diadakan bersempena The Cooler Lumpur Festival, di ibu negara, baru baru ini.
[FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN/BH] Dari kiri Wan Nor Azriq, Zainal Rashid, SM Zakir, Hafizah dan Ainuni Muaiyanah pada Wacana Novel Ikarus anjuran Institut Terjemahan & Buku Malaysia serta Morne Art Gallery diadakan bersempena The Cooler Lumpur Festival, di ibu negara, baru baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia