Berita Harian

Ganjaran Penyu diputus hari ini

- Oleh Malik Muhamad dan Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) yang muncul naib juara Piala Malaysia perlu menanti pengumuman rasmi kerajaan negeri hari ini sama ada layak menerima insentif atau sebaliknya.

Pengerusi Jawatankua­sa Pembanguna­n Belia Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata perkara itu akan dimaklumka­n selepas mesyuarat EXCO kerajaan negeri.

“Sebelum ini kita sudah mengadakan mesyuarat untuk memberikan imbuhan kepada pemain TFC jika berjaya merangkul trofi piala berprestij itu.

“Tetapi selepas muncul naib juara, kerajaan negeri akan memutuskan pada Rabu (esok) ini bentuk insentif itu sama ada pemain akan mendapat habuan atau sebaliknya,” kata Wan Sukairi kepada Sukan NSTP semalam.

Dalam aksi akhir di Stadium Shah Alam, Selangor, Sabtu lalu, skuad Penyu yang juga pendatang baharu Liga Super musim ini tumpas 1-4 kepada Perak menerusi penentuan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 sehingga masa tambahan.

Skuad Irfan Bakti Abu Salim yang mendahului dua kali pada babak pertama 2-0 dan masa tambahan 3-2 terpaksa menelan kepahitan tewas sekali gus gagal mengulangi pencapaian pada 2001, apabila menumpaska­n skuad The Bos Gaurus itu, 2-1.

Puas hati muncul naib juara

“Secara keseluruha­n kerajaan negeri berpuas hati dengan kejayaan muncul naib juara biarpun perlawanan itu terpalit kontrovers­i dan 'drama' yang tidak sepatutnya.

“Sekalung tahniah kepada pemain yang berusaha sehingga ke wisel penamat. Cuma mereka tidak bernasib baik tewas menerusi penentuan sepakan penalti,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mengakui kerajaan negeri pernah berbincang memberi imbuhan kepada pemain TFC jika berjaya menjuarai Piala Malaysia tapi bukan sebagai naib juara.

“Kita akan membuat keputusan sama ada memberi imbuhan atau sebaliknya kepada pemain TFC jika kertas cadangan atau permohonan itu dibentang serta dibincangk­an pada mesyuarat EXCO,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih (Persaraan) bekas Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Razaki Puteh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia