Berita Harian

23 November pengurusan kes seludup tenggiling

-

Kota Kinabalu: Mahkamah Sesyen di sini semalam, menetapkan 23 November bagi pengurusan kes seorang peniaga makanan laut yang didakwa cuba menyeludup keluar 8,085 kilogram (kg) sisik tenggiling, Julai lalu.

Tertuduh, Chai Kok Hiong, 44, yang sebelum ini dibenar ikat jamin RM80,000 di Mahkamah Majistret di sini, kekal dengan pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Sehubungan itu, mahkamah mengekalka­n jumlah ikat jamin itu kepada Kok Hiong dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang berasal dari Tawau turut diperintah melaporkan diri kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Tawau setiap dua minggu.

Kok Hiong berdepan hukuman denda sehingga RM2 bilion atau penjara selepas dituduh mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 (mengimport atau mengekspor­t bahan terlarang) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) dan dibaca bersama Seksyen 139 akta sama.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membawa 227 guni berisi sisik tenggiling seberat 8,058 kg dengan nilai keseluruha­n melebihi RM100 juta berdasarka­n harga pasaran semasa.

Berdasarka­n kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh diwakili peguam, Dominic Chew, manakala pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa dari JKDM, Nanang Lumpat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia