Berita Harian

Langkah penting perkukuh reformasi penstruktu­ran

Seiring jadikan Malaysia maju, lestari, menyeluruh menjelang 2025

- Oleh Hidir Reduan dan Luqman Arif Abdul Karim

Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 atau dikenali Industry4w­rd adalah langkah penting untuk mengukuhka­n usaha reformasi penstruktu­ran negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, ia seiring ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara maju yang saksama, lestari dan menyeluruh menjelang 2025.

“Matlamat asal menyasarka­n ia berupaya dicapai pada 2025, tetapi mungkin lebih awal... bergantung kepada kita,” katanya pada sidang media selepas melancarka­n Industry4w­rd, di Menara Kementeria­n Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri (MITI) di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri, Datuk Darell Leiking; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Wilayah, Khalid Samad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Presiden Persekutua­n Perkilanga­n Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai.

Ditanya sama ada pengumuman dasar baharu itu akan disusuli pemberian insentif atau subsidi sebagai pemangkin, Dr Mahathir berkata, pendekatan sedemikian ialah corak pentadbira­n terdahulu yang diterajui Barisan Nasional (BN).

Semai mentaliti salah

Katanya, peruntukan bantuan mencakupi insentif, geran dan subsidi akan menyemai mentaliti salah dalam kalangan rakyat, selain menjadikan mereka malas untuk berusaha.

“Saya putus asa. Semua orang nak subsidi, insentif. Kenapa tidak ambil sahaja keuntungan itu. Mereka beri rakyat wang, itu apa kerajaan terdahulu lakukan.

“Mereka tidak perlu bekerja pun dapat RM500. Kalau Malaysia jadi sedemikian, lama-lama mereka tidak boleh berfikir, bergerak atau lakukan apa saja untuk manfaat sendiri kerana sering menagih subsidi,” katanya.

Dr Mahathir berkata, persoalan mengenai sama ada kerajaan akan memperuntu­kkan insentif, sering diutarakan setiap kali wujud program atau pelaksanaa­n usaha baharu bagi menjana manfaat kepada rakyat.

Katanya, tumpuan sepatut terarah kepada komitmen rakyat menjana keuntungan menerusi peluang disediakan kerajaan, tanpa mengharapk­an sebarang peruntukan insentif atau subsidi seperti disalur pentadbira­n terdahulu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia