Berita Harian

Anwar akan pastikan projek ada unsur rasuah dibatal

-

Port Dickson: Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan akan berusaha memastikan projek yang dikesan mempunyai unsur rasuah atau penyelewen­gan di daerah ini, dibatalkan segera.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR, berkata mahu memastikan semua projek pembanguna­n di daerah ini dijalankan mengikut peraturan sewajarnya dan telus.

“Kalau saya dengar ada komisen, saya akan (usaha) batalkan projek. Jangan cuba ambil duit orang,” katanya ketika berucap pada Majlis Minum Petang bersama Veteran Tentera di Dewan Bagan Pinang di sini, semalam.

Anwar berkata, beliau turut menetapkan tiga syarat kepada pengusaha projek pembinaan hotel di daerah ini, iaitu memastikan kebersihan pantai, membina rumah pekerja dan memberi peluang pekerjaan serta latihan kepada penduduk tempatan.

Katanya, syarat itu dapat memastikan pantai di kawasan hotel sentiasa bersih, manakala penduduk tempatan mendapat pekerjaan berhampira­n rumah mereka.

Ziarah MB Negeri Sembilan

Sementara itu, Anwar berkata beliau bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sudah melawat Menteri Besar, Aminuddin Harun, yang kini dirawat di Hospital Serdang, Selangor.

“Beliau (Aminuddin) pergi ke hospital untuk periksa buah pinggang tapi rupanya saluran jantung yang tersumbat, sebab itu kena terus bedah.

“Saya lawat beliau sehari selepas pembedahan dan alhamdulil­lah saya lihat (Aminuddin) sudah beransur sihat,” katanya.

Mengenai majlis bersama veteran tentera itu, Anwar yang menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober lalu, berkata kehadirann­ya adalah tanda penghargaa­n kepada golongan itu yang menyokongn­ya.

“Kebajikan veteran tentera sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan kami tidak akan sesekali meminggirk­an.

“Malah, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu juga akan mengaktifk­an semula Majlis Veteran Malaysia dalam memastikan kebajikan ahli terus diberi perhatian,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia