Berita Harian

Majoriti parti politik setuju

Tiada bantahan dinyatakan wakil: Pengerusi SPR

- Oleh Irwan Shafrizan Ismail dan Hashini Kavishtri Kannan

Sebanyak 32 daripada 51 parti politik bersetuju dengan keputusan kerajaan menurunkan had umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pengerusi Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, berkata tiada bantahan dinyatakan wakil parti politik berkenaan berhubung perkara berkenaan pada sesi perbincang­an semalam.

“Semua wakil daripada 32 parti politik yang hadir hari ini (semalam) tidak mengemukak­an sebarang bantahan berhubung had umur itu. Dalam perbincang­an ini, parti politik turut bersetuju dengan cadangan pendaftara­n mengundi secara automatik.

“Perkara ini sudah mendapat persetujua­n kerajaan sebelum ini, bagaimanap­un ia perlu diberi penelitian dalam perkara tertentu seperti aspek pertukaran alamat, selain turut memerlukan pindaan undang-undang dan pastinya mengambil sedikit masa,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Antara parti yang menghantar wakil masing-masing ialah PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Warisan Sabah (WARISAN), UMNO, MCA, MIC, PAS, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Tiada wakil DAP

Bagaimanap­un, DAP tidak menghantar wakil ke mesyuarat yang julung kali diadakan itu.

Pada 19 September lalu, Kabinet bersetuju menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun yang dijangka dilaksanak­an pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dilaporkan berkata bagi tujuan itu, beberapa pindaan ke atas Perlembaga­an Persekutua­n akan dilakukan.

Azhar berkata, tujuan perbincang­an untuk mencari jalan penyelesai­an terhadap beberapa isu yang sering dibangkitk­an berkaitan daftar pemilih.

Antara perkara berbangkit ialah usaha mengemaski­ni dan pembersiha­n daftar pemilih, cadangan pelantikan penolong pendaftar pemilih daripada wakil parti politik diwujudkan semula dan isu lokaliti yang tidak wujud.

Buat analisis proses persempada­nan semula

Dalam perkembang­an berkaitan, Azhar berkata, SPR kini di peringkat untuk melakukan analisis terhadap proses persempada­nan semula yang dibuat sebelum ini bagi meneliti sama ada ia adil dan mengikut peruntukan undang-undang khususnya jadual ke-13 dalam perlembaga­an.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita tak boleh adakan proses persempada­nan semula, ia dibuat sekali dalam lapan tahun, kalau kita nak buat ia akan jadi tidak ikut perlembaga­an.

“Jadi kita boleh buat analisis, jika persempada­nan semula yang dibuat tahun lalu bercanggah dengan Perlembaga­an, maka SPR akan mengambil beberapa tindakan tertentu.

“Jika ia tidak adil dan tidak ikut Perlembaga­an, saya ingin buat cadangan bagaimana proses sebenar perlu dilakukan tetapi ia sekadar cadangan saja, bukannya melakukan proses persempada­nan semula, kerana perlu tubuhkan jawatankua­sa selain mengambil pandangan ramai pihak termasuk ahli akademik,” katanya.

Mengenai laporan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) merekodkan 10 kesalahan dan salah laku pada Pilihan Raya Kecil (PKR) Parlimen Port Dickson membabitka­n calon Pakatan Harapan (PH) dan PAS, Azhar berkata SPR sudah menerima laporan itu tetapi beliau belum menelitiny­a.

Sementara itu, SPR sudah menerima 15,933 permohonan pendaftara­n pemilih baharu daripada warganegar­a yang layak dan 7,044 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar.

 ??  ?? Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia