Berita Harian

Waris 6 anggota bomba lemas dapat pampasan

-

Kuala Lumpur: Kerajaan menyalurka­n bantuan kewangan termasuk insurans berjumlah antara RM164,000 hingga RM289,000 kepada setiap waris anggota bomba yang terkorban ketika operasi menyelamat di Puchong, 4 Oktober lalu.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata keluarga terbabit turut memperoleh pencen berdasarka­n kenaikan pangkat khas diterima anggota berkenaan.

“Bantuan kewangan diberi membabitka­n insurans dan pampasan. Kerajaan menyalurka­n RM286,000 kepada keluarga Allahyarha­m Mohd Fatah Hashim, keluarga Allahyarha­m Izatul Akma Wan Ibrahim (RM289,000) dan keluarga Allahyarha­m Mazlan Omarbaki (RM164,000).

“Keluarga Allahyarha­m Yahya Ali pula menerima RM289,000 dan keluarga Allahyarha­m Adnan Othman (RM289,000) manakala waris Muhammad Hifdzul Malik Shaari (RM206,000),” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKE-11) bagi pihak kementeria­n di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab celahan Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas-rantau Panjang) mengenai bentuk bantuan dan pampasan kepada keluarga enam anggota bomba yang terkorban ketika menjalanka­n operasi menyelamat, awal bulan lalu.

5 jenis akaun kritikal dilulus

Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, dalam menjaga kebajikan anggota bomba, kerajaan meluluskan lima jenis elaun kritikal dengan mengambil kira risiko dan cabaran dihadapi ketika menjalanka­n tugas.

“Elaun terbabit termasuk bayaran insentif kepada anggota yang bertugas secara syif, elaun pasukan khas seperti Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), elaun pasukan penyelamat perubatan kecemasan dan elaun pemandu.

“Kementeria­n akan memastikan setiap anggota bomba didedahkan dengan latihan atau kursus menyelamat terkini mengikut undang-undang dan tugasan masing-masing,” katanya.

Pada 4 Oktober lalu, enam anggota PPDA lemas selepas terperangk­ap dalam pusaran air ketika mencari remaja yang terjatuh di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor.

Empat anggota PPDA Pelabuhan Klang yang lemas adalah Mohd Fatah, 34; Izatul Akma, 32; Mazlan, 25, dan Yahya 24, manakala Adnan, 33, dan Muhammad Hifdzul, 25, adalah anggota PPDA Shah Alam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia