Berita Harian

Calon boleh tinjau tempat pemilihan

Peraturan tak benarkan dekati pemilih ketika proses mengundi

- Oleh Khairul Azran Hussin

Semua calon bertanding pada Pemilihan PKR 2018 dibenarkan untuk melakukan tinjauan di tempat pemilihan sebelum proses pengundian bermula.

Pengerusi Jawatankua­sa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Rashid Din, berkata bagaimanap­un kebanyakan calon tidak mengetahui­nya, termasuk dibenarkan memeriksa persekitar­an atau di tempat ahli akan melakukan pengundian bagi memastikan tiada unsur sabotaj atau taktik kotor.

“Memang semua (calon) dibenarkan masuk ke dalam (tempat pemilihan). Calon pun boleh datang tinjau ketika persiapan sedang dilakukan. Cuma apabila proses pengundian dimulakan, calon tidak bolehlah ada berhampira­n ahli yang hendak mengundi.

Tidak timbul isu

“Saya rasa tidak timbul isu JPP kena benarkan calon periksa kawasan pusat pemilihan sebab semua calon sememangny­a dibenarkan berbuat demikian,” katanya kepada NSTP di sini, semalam.

Beliau mengulas gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli supaya JPP membenarka­n calon memantau keadaan pusat pemilihan sebelum atau pada hari pengundian.

Juwairiya yang juga calon Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, dilaporkan berkata ia bagi memastikan insiden sabotaj tidak berulang dalam proses pengundian semula pada 11 November ini.

Proses pengundian Cabang PKR Kuala Selangor yang berlangsun­g pada Ahad lalu terpaksa ditangguhk­an selepas sistem e-undi tidak dapat dilaksanak­an kerana tiada capaian internet.

Petugas Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKL) yang sedang melakukan kerja pembersiha­n kemudian menemui alat bagi menghalang capaian isyarat internet atau ‘jammer’ di tempat duduk Stadium Tertutup Kuala Selangor.

Tujuh cabang PKR yang bermasalah dalam pemilihan parti akan mengadakan semula pengundian pada 11 November ini di kawasan masing-masing.

Tujuh cabang berkenaan ialah Kuala Selangor, Selangor; Jelebu, Negeri Sembilan;alor Gajah, Masjid Tanah, Tangga Batu, Kota Melaka dan Jasin di Melaka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia