Berita Harian

Lima pengganas termasuk 2 rakyat kita kena tahan

Dua disyaki salur dana kepada Muhammad Wanndy

- Oleh Hasbi Sidek

Dua daripada individu ditahan kerana disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas difahamkan menyalurka­n dana kepada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, warga Malaysia yang menyertai kumpulan Daesh di Syria.

Dua individu berkenaan antara lima suspek ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 13 hingga 26 Oktober lalu dalam operasi di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata semua suspek berkenaan adalah dua warga Malaysia, manakala bakinya masing-masing warga Mesir, Pakistan dan sebuah lagi negara di Asia Barat.

“Suspek pertama seorang lelaki warga Mesir berusia 50 tahun bekerja sebagai pengurus eksekutif di sebuah syarikat swasta di ibu negara, ditahan di Selangor pada 13 Oktober lalu.

“Dia adalah bekas anggota kumpulan pengganas Al-qaeda ketika berada di Afghanista­n dari 1988 hingga 1993, malah pernah berjumpa pemimpin kumpulan Al-qaeda, Osama Laden.

“Suspek mengaku menggunaka­n dokumen perjalanan palsu untuk menyusup masuk ke Kanada, Azerbaijan dan Pakistan serta pernah ditahan dan dipenjara di Kanada serta Mesir atas kesalahan menggunaka­n dokumen palsu, selain terbabit aktiviti keganasan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, suspek kedua ditahan pada 20 Oktober lalu di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA), adalah lelaki berusia 31 tahun, warga negara Asia Barat yang tidak bekerja serta terbabit kes ugutan bunuh terhadap seorang diplomat asing di ibu negara.

Pernah jalani latihan ketenteraa­n pengganas

“Suspek ketiga adalah lelaki warga Pakistan berusia 31 tahun, bekerja sebagai buruh dan ditahan di Sitiawan, Perak pada 25 Oktober lalu. Dia terbabit dalam kumpulan pengganas Lashkar-e-taiba berpangkal­an di sebuah negara di Asia Selatan dan menyusup masuk ke Malaysia sejak Ogos 2016.

“Dia juga pernah menjalani latihan ketenteraa­n di kem kumpulan pengganas LashkarE-taiba.

“Suspek keempat pula ditahan pada 25 Oktober di Gombak, seorang wanita warga tempatan berusia 32 tahun dan bekerja di sebuah syarikat swasta dan terbabit menyalurka­n dana kepada Muhammad Wanndy dari 2014 hingga 2017 bagi membiayai aktiviti keganasan,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, suspek kelima ditangkap pada 26 Oktober lalu di Kota Kinabalu, Sabah, seorang lelaki warga tempatan, berusia 40 tahun dan bekerja sebagai pengurus perkhidmat­an di sebuah syarikat telekomuni­kasi.

“Suspek terbabit menyalurka­n dana kepada Muhammad Wanndy dan kumpulan Abu Sayyaf di Selatan Filipina dari 2015 hingga 2018 bagi membiayai aktiviti keganasan,” katanya.

Beliau berkata, empat suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab VIA- kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamata­n (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747), manakala seorang lagi suspek ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

 ??  ?? Mohamad Fuzi Harun
Mohamad Fuzi Harun

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia