Berita Harian

Pesara rugi RM30,000 mangsa sindiket Macau Scam

-

Kuala Lipis: Akibat terlalu takut dikenakan hukuman gantung sampai mati selepas dikatakan terbabit dengan kes pengedaran dadah, seorang pesara kilang sanggup menyerahka­n wang tunai RM30,000 kepada sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

Mangsa berusia 57 tahun dari Kampung Lubok Kulit Telang, Padang Tengku, dekat sini, menerima panggilan daripada seorang lelaki bernama Azrie Azman yang mendakwa sebagai pegawai bank dari Seremban.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superinten­dan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek mendakwa mangsa membuat pinjaman peribadi RM70,000 dengan bayaran bulanan sebanyak RM1,295.

“Suspek memberitah­u mangsa gagal membayar ansuran bulanan selama tiga bulan, iaitu RM3,885. Bagaimanap­un mangsa menafikan dia pernah membuat pinjaman peribadi di bank berkenaan.

“Bagi menakutkan mangsa, suspek mendakwa dia terbabit dengan kes pengedaran dadah dan pengubahan wang haram yang boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Beliau berkata, panggilan berkenaan kemudian disambungk­an kepada pegawai polis yang menjalanka­n siasatan kes berkenaan sebelum hasil perbincang­an, suspek kedua itu menawarkan bantuan kepada mangsa bagi menyelesai­kan masalah dihadapi mangsa.

Terima tawaran tanpa fikir

“Tanpa berfikir panjang mangsa menerima tawaran berkenaan seperti mana syarat yang ditetapkan. Suspek mengarahka­n mangsa membuat pembayaran RM30,000 ke dalam satu akaun yang diberikan,” katanya.

Katanya, selepas selesai membuat pindahan wang berkenaan, suspek sekali lagi mengarahka­n mangsa memindahka­n RM30,000 ke dalam akaun sama, namun mangsa menyedari sudah ditipu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Lipis, kelmarin.

Dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang lelaki di Jaya Gading, di sini terpaksa kerugian RM9,140 selepas diperdaya sindiket menawarkan pinjaman tidak wujud di laman sosial Facebook, minggu lalu.

Katanya, kejadian bermula 23 Oktober lalu apabila mangsa melihat iklan pinjaman wang di Facebookbe­st Loan Agency M Sdn Bhd.

“Mangsa mengisi borang dan meletakkan nombor telefon di borang berkenaan sebelum dihubungi oleh seorang lelaki. Selepas perbincang­an mangsa berminat membuat pinjaman sebanyak RM40,000.

“Tidak lama kemudian, suspek mendakwa pinjaman berkenaan sudah lulus dan meminta mangsa membuat pelbagai bayaran, termasuk untuk cukai, wang pendahulua­n dan peguam,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis di IPD Kuantan, kelmarin dan kedua-dua kes ini Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia