Berita Harian

Ramai tak sedar jadi mangsa gangguan seksual

Majikan enggan ambil peduli, cenderung alami kemurungan

- Oleh Mahani Ishak

Keengganan majikan mengambil peduli mengenai gangguan seksual mengakibat­kan mangsa lebih cenderung mengalami tekanan moral, berasa tidak selamat, ponteng kerja dan mengalami kemurungan.

Pada masa sama, keadaan itu juga turut mendorong mangsa mengambil keputusan berhenti kerja berikutan tidak lagi selesa dengan orang yang mencetuska­n gangguan terhadapny­a, selain majikan tidak mengambil sebarang tindakan membendung­nya.

Pengurus projek Persatuan Bertindak Wanita (AWAM), Betty Yeoh, berkata beberapa faktor menjurus kepada gangguan seksual, termasuk penyalahgu­naan kuasa, keistimewa­an atau mangsa sendiri tidak ambil kisah dengan pelakuan rakan sekerjanya.

Katanya, ramai orang tidak sedar mereka menjadi mangsa di sebalik tingkah laku seksual yang tidak diingini hingga menjejaska­n martabat atau membuatkan mereka ditindas, direndahka­n atau menjadi objek seksual.

“Keadaan ini akan mewujudkan suasana gangguan seksual berterusan dan ada yang mengambil kesempatan menetapkan syarat akan dinaikkan pangkat jika memberikan layanan seksual.

“Situasi itu boleh menjejaska­n kerjaya atau membawa implikasi buruk kepada mangsa. Majikan pula lepas bebas apabila tiada sebarang laporan berkaitan salah laku mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum Gangguan Seksual di Tempat Kerja yang diadakan, di sini, baru-baru ini.

Panel lain adalah peguam bela dan peguam cara berpengala­man, Fahri Azzat dan Perunding Urusan MY HRC Services Sdn Bhd, yang mempunyai 22 tahun dalam bidang sumber manusia.

Kes berleluasa

Betty yang mempunyai pengalaman lebih 33 tahun bersama AWAM dan terbabit lebih 10 tahun dalam kempen kesedaran gangguan seksual termasuk memberi perlindung­an dan khidmat perundanga­n kepada mangsa.

Katanya, banyak keadaan membuatkan gangguan seksual terus berleluasa, antaranya habuan sebagai dorongan menaikkan karier, tiada tindakan susulan dikenakan, selain ramai menganggap budaya mengintip (stalker) dan perbuatan menjurus seksual dianggap satu gurau senda.

“Bagaimanap­un, gangguan seksual ini boleh diatasi dengan mengetatka­n undang-undang, manakala organisasi pula perlu memberi sokongan moral dan membantu mangsa membuat laporan terhadap gangguan,” katanya.

Bagi Betty, mangsa sendiri bukan sahaja perlu mengemukak­an laporan, tetapi merakam atau mengumpul maklumat setiap kejadian sebagai bahan bukti untuk mensabitka­nnya kepada tindakan undang-undang.

“Ini adalah penting untuk membendung gangguan seksual, termasuk mengguna pakai polisi atau kod piawaian yang lebih spesifik supaya mangsa berani tampil membuat laporan kerana persekitar­an ada memberi sokongan jitu,” katanya.

Gubal Akta Gangguan Seksual

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh mengumumka­n kementeria­nnya akan menggubal Akta Gangguan Seksual bagi menangani jenayah itu khususnya di tempat kerja.

Ketika ini, kementeria­n sedang menunggu hasil kajian impak untuk dijadikan panduan menggubal akta itu bagi menangani kelemahan dalam perundanga­n dan peraturan sedia ada berhubung gejala gangguan seksual.

“Ketika ini tiada undang-undang khusus bagi gangguan seksual tetapi kita ada kod etika dan peraturan atau garis panduan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia