Berita Harian

TDM tingkat pemantauan aktiviti pengganas

Tumpuan kepada kegiatan, latihan peperangan di kawasan terpencil.

- Oleh Mohd Roji Kawi

Tentera Darat Malaysia (TDM) memperkema­s pemantauan bagi mengesan sebarang aktiviti kumpulan tertentu untuk melatih pengganas.

Panglima Briged Ketiga Infantri, Tentera Darat Malaysia (TDM), Brigedier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin, berkata pemantauan itu memfokus kepada kegiatan seperti latihan peperangan yang dijalankan di kawasan terpencil.

Beliau berkata, situasi aman yang dinikmati sekarang dikhuatiri akan dimanfaatk­an kumpulan tertentu yang tidak berpuas hati terhadap sesuatu isu dengan membentuk kumpulan militan.

Justeru, katanya, pihaknya terus melaksanak­an pemantauan bagi mengelak kumpulan terbabit membuat kejutan yang boleh mencetus suasana kacaubilau.

Tidak boleh leka

“Kita sentiasa berusaha mengesan sebarang kegiatan menjurus ke arah pembentuka­n kumpulan militan, sebab itu dalam keadaan aman kita tidak boleh leka dan tidak mahu dikejutkan dengan sesuatu yang boleh mengancam keselamata­n negara dan rakyat.

“Dalam soal ini, kita berpegang kepada teori bahawa sekiranya kumpulan militan mahu menjalani latihan peperangan bersenjata, mereka mesti memilih kawasan sunyi dan terpencil untuk dijadikan sebagai kawasan latihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Perbarisan Ulang Tahun Ke-59 Briged Ketiga Infantri TDM di Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD) di Kem Semenggo di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Bustaman berkata, Briged Ketiga Infantri TDM menambah pos kawalan di sempadan negeri dengan satu daripadany­a dalam pembinaan di daerah Lundu.

“Briged Ketiga Infantri bertanggun­gjawab terhadap keselamata­n dari Tanjung Datu di Sematan hinggalah ke Batang Ai di Sri Aman dan banyak lokasi terpencil sepanjang kawasan berkenaan,” katanya.

Kejayaan terbesar

Mengenai kejayaan dicapai Briged Ketiga Infantri dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, beliau berkata, sebanyak 110 penahanan dilakukan di sempadan Malaysia-indonesia sepanjang tempoh itu.

“Daripada 110 penahanan itu, kita berjaya menahan 150 orang pendatang asing tanpa izin, merampas 52 motosikal curi, 17 kenderaan pacuan empat roda curi yang cuba diseludup ke Indonesia, merampas dua laras senapang patah buatan sendiri serta mematahkan cubaan menyeludup barang terkawal yang bernilai RM1.4 juta.

“Ini kejayaan terbesar dicapai Briged Ketiga Infantri dalam tugasan mengawal sempadan dan ia dicapai dengan bantuan kenderaan tempur konvension­al G-wagon yang diubah untuk melakukan tugas rondaan di sempadan,” katanya.

 ?? [ FOTO MOHD ROJI KAWI / BH ] ?? Mohd Bustaman memeriksa perbarisan sempena ulangtahun ke-59 Briged Ketiga Infantri di Kem Semenggo, Kuching. Turut kelihatan bekas peninju negara, Mejar Sapok Biki (kanan).
[ FOTO MOHD ROJI KAWI / BH ] Mohd Bustaman memeriksa perbarisan sempena ulangtahun ke-59 Briged Ketiga Infantri di Kem Semenggo, Kuching. Turut kelihatan bekas peninju negara, Mejar Sapok Biki (kanan).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia