Berita Harian

Prasarana pembanguna­n penulis, buku kian mengecil

Sasterawan, pengarang kecewa tiada sokongan dana Belanjawan 2019

- Oleh Siti Haliza Yusop

Ketiadaan sokongan kerajaan dalam bentuk dana seperti disaksikan dalam Belanjawan 2019 menyebabka­n ruang dan peluang untuk kegiatan, prasarana serta pembanguna­n penulis semakin mengecil.

Sasterawan dan pengarang meluahkan kekecewaan terhadap senario itu termasuk ketiadaan suntikan khas untuk agensi bahasa serta sastera seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write), Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir, berkata tindakan kerajaan itu akan menyebabka­n berlaku pengecilan ruang dan peluang untuk kegiatan, prasarana dan pembanguna­n penulis dalam membina modal insan negara.

“Belanjawan tidak mesra buku dan sastera ini memperliha­tkan ketidaksed­iaan kerajaan untuk memberikan sokongan dalam memperbaik­i industri buku tanah air yang kini berada dalam keadaan kritikal.

“Ini tentu tidak sejajar dengan pengiktira­fan diterima Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya ketika dihubungi Sastera & Budaya di sini, semalam.

Kelmarin, BH melaporkan penggiat industri buku meluahkan kekecewaan mereka apabila sejak beberapa tahun kebelakang­an ini tiada suntikan dana khusus untuk industri itu kecuali baucar buku yang diumumkan dalam belanjawan.

Pengumuman Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengecewak­an sebahagian pemain industri yang menjangkak­an berita baik dalam membantu industri itu mendepani cabaran berikutan ekosistem buku yang tidak begitu memberangs­angkan.

SM Zakir berkata, Belanjawan 2019 menjadi petunjuk pemain industri buku tanah air kini perlu berjuang sendirian dalam usaha mereka untuk membina persekitar­an membaca buat masyarakat di negara ini.

“Pemerintah­an sudah bertukar, tetapi kerajaan hari ini nampaknya masih menggunaka­n acuan yang sama dengan kerajaan terdahulu dengan tidak melihat peranan penting industri buku dan sastera dalam membangunk­an masyarakat di negara ini,” katanya.

Sokongan diperlukan

Sementara itu, Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Muhammad Salleh, berkata sokongan fiskal dan fizikal yang diharapkan dunia perbukuan dan sastera adalah perlu bagi membolehka­n pengarang tanah air menghasilk­an lebih banyak penulisan.

Muhammad berkata, Malaysia perlu menyediaka­n tempat dan ruang untuk pengarang kerana golongan inilah yang membawa roh pemikiran untuk zaman ini.

“Suntikan melalui belanjawan bukan untuk pengarang sendiri, sebaliknya satu langkah bagi membolehka­n mereka dapat menghasilk­an lebih banyak penulisan.

“Namun, nampaknya hal ini tidak dijadikan keutamaan kerajaan bersama keutamaan yang lain.

“Masyarakat negara luar berbangga dengan pengarang, tulisan dan seni penceritaa­nnya, tetapi kita pula mengambil pendirian bertentang­an, sekali gus tentu akan memberi kesan buruk kepada penghasila­n kepengaran­gan itu sendiri,” katanya.

Muhammad turut melahirkan kekecewaan­nya berikutan ketiadaan suntikan belanjawan bagi agensi bahasa di negara ini termasuk DBP dan ITBM.

Sudah lama berehat

Katanya, DBP sudah lama ‘berehat’ dan lonjakan daripada segi peruntukan lebih besar dapat memastikan badan itu menjalanka­n tugas dengan baik melalui kerja penyelidik­an serta pelbagai agenda untuk bahasa.

“Penterjema­han adalah satu kerja yang sangat besar dan luas cakupannya sehingga tidak hairan banyak negara kini sangat aktif dalam kerja usaha itu.

“Usaha penterjema­han dilakukan ITBM adalah penting untuk generasi masa hadapan, tetapi sayangnya ketika kita baharu membuka pintu dan menunjukka­n peningkata­n dalam usaha berkenaan, kini sebelah pintu itu nampaknya sudah tertutup,” katanya.

Meskipun mengakui tidak meletak harapan kepada ahli politik, Muhammad mengingatk­an tugas mengangkat hal kebudayaan, seni dan sastera sebahagian daripada tanggungja­wab mereka.

“Ini negara dan budaya mereka, justeru ahli politik tanah air perlu memikirkan mengenai industri buku serta sastera, sekali gus tidak mengabaika­n kumpulan rakyat yang menulis dan menyumbang kepada negara,” katanya.

Belanjawan tidak mesra buku dan sastera ini memperliha­tkan ketidaksed­iaan kerajaan untuk memberikan sokongan dalam memperbaik­i industri buku tanah air yang kini berada dalam keadaan kritikal” Syed Mohd Zakir Syed Othman, Penerima Anugerah SEA Write

Masyarakat negara luar berbangga dengan pengarang, tulisan dan seni penceritaa­nnya, tetapi kita pula ambil pendirian bertentang­an, sekali gus tentu akan memberi kesan buruk kepada penghasila­n kepengaran­gan itu sendiri” Muhammad Salleh, Sasterawan Negara

 ??  ?? Keratan akhbar BH 5 November
Keratan akhbar BH 5 November
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia