Berita Harian

Kes Sivarasa saman Tengku Adnan selesai cara baik

-

Kuala Lumpur: Kes saman fitnah Timbalan Menteri Pembanguna­n Luar Bandar, R Sivarasa terhadap Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor diselesaik­an secara baik semalam.

Kes saman itu selesai selepas Tengku Adnan yang dinamakan selaku defendan menarik balik kenyataann­ya dikeluarka­n pada 1 Jun tahun lalu, yang menjadi asas dalam tuntutan saman itu.

Peguam Latheefa Koya mewakili Sivarasa ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata Pesuruhjay­a Kehakiman Wan Ahmad Farid Wan Salleh merekodkan penghakima­n persetujua­n.

Tarik balik kenyataan

Latheefa berkata, berikutan penarikan balik kenyataan oleh Tengku Adnan itu, anak guamnya menarik balik saman terbabit.

Katanya, Sivarasa tidak berhasrat untuk memanjangk­an isu itu lagi.

Mengikut penghakima­n persetujua­n itu, Sivarasa menarik balik saman berkenaan tanpa perintah berhubung kos.

Melalui prosiding di kamar pesuruhjay­a kehakiman itu, Datuk S Peguam Satharuban bertindak bagi pihak Tengku Adnan.

Pada 13 Jun tahun lalu, Sivarasa, selaku plaintif menyaman Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya atas dakwaan mengeluark­an kenyataan fitnah terhadapny­a berhubung ucapannya pada program berbuka puasa di ruang parkir Masjid Jamek Alam Shah, Cheras.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan, Sivarasa mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya bermaksud beliau tidak menghormat­i tempat ibadat masyarakat Islam apabila berpolitik di dalam masjid dan tidak menghormat­i kesucian masjid atau surau di bulan Ramadan.

Sivarasa mendakwa, kenyataan fitnah itu diterbitka­n semula di laman web Malaysiaki­ni, selain turut disiarkan dalam media cetak dan media elektronik.

Plaintif juga mendakwa Tengku Adnan mempunyai pengetahua­n berhubung kenyataan beliau (Sivarasa) pada 31 Mei 2017, yang menafikan menyampaik­an sebarang ceramah politik dalam satu majlis di Masjid An-nur Kampung Melayu Subang pada 24 Mei 2017.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia