Berita Harian

ROSMAH, RIZAL DIJANGKA KENA DAKWA KHAMIS

Projek RM1.25B tanpa SOP disiasat SPRM

- Oleh Mohd Azam Shah Yaacob mohdazam@nstp.com.my Kuala Lumpur

Datin Seri Rosmah Mansor dijangka didakwa di mahkamah pada Khamis ini berkaitan peranan isteri bekas Perdana Menteri itu dalam projek solar hibrid di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion.

Difahamkan, Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga akan mendakwa Datuk Rizal Mansor, iaitu bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak berkaitan projek yang sama.

Sumber SPRM memberitah­u, projek membabitka­n dana RM1.25 bilion itu disiasat kerana diberikan tanpa melalui prosedur operasi standard (SOP) Kementeria­n Pendidikan ketika pentadbira­n Barisan Nasional (BN).

Katanya, projek membabitka­n pemasangan sistem solar hibrid di 369 sekolah luar bandar di Sarawak itu dianugerah­kan kepada sebuah syarikat berdasarka­n arahan langsung daripada Najib.

Rosmah dijangka hadapi beberapa pertuduhan

"Berdasarka­n siasatan dijalankan, Rosmah dijangka dikenakan beberapa pertuduhan di mahkamah atas peranannya dalam projek itu pada Khamis ini.

“Yang turut akan didakwa adalah bekas pegawai khas Najib yang pernah ditahan SPRM pada 9 Julai lalu,” kata sumber berkenaan.

Pada 4 Oktober lalu, Rosmah menghadapi 17 tuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, membabitka­n aktiviti penggubaha­n wang haram berjumlah RM7 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Bagaimanap­un, Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 tuduhan membabitka­n diri secara langsung dalam transaksi aktiviti haram dengan cara membenarka­n kemasukan wang RM7 juta ke dalam akaun bank miliknya serta lima lagi pertuduhan kerana gagal membuat penyata pendapatan.

Mahkamah kemudian membenarka­n Rosmah dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta dan diminta menyerahka­n dua dokumen perjalanan miliknya kepada mahkamah.

Siasatan SPRM ke atas Rizal pula kerana cuba mendapatka­n wang daripada Jepak Holdings, iaitu syarikat yang terbabit dalam projek pemasangan sistem solar hibrid berkenaan.

Khamis lalu, Najib dipanggil SPRM bagi diambil keterangan berkaitan projek solar berkenaan.

Bagaimanap­un, Ahli Parlimen Pekan itu menerusi akaun Twitter miliknya, menafikan hadir bagi memberi keterangan berkaitan kes berkenaan, sebaliknya dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan kes rasuah.

Projek solar hibrid disiasat sejak April

NSTP difahamkan, projek solar hibrid yang sepatutnya dipasang di 369 sekolah luar bandar di Sarawak itu mula disiasat SPRM sejak April lalu.

Sehingga kini, SPRM turut menahan beberapa individu, termasuk pengarah, pengarah urusan serta peguam yang mempunyai kaitan dengan projek berkenaan.

Pengarah yang berusia 59 tahun serta peguam berusia 30 tahun itu ditahan pada 27 Jun lalu berdasarka­n kes yang disiasat mengikut Seksyen 18 (a) Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu.

Pengarah urusan syarikat berkenaan yang berusia 39 tahun pula ditahan pada 29 Jun lalu.

Semua suspek yang ditahan sebelum sudah dibebaskan.

Projek itu diberikan kepada Jepak Holding pada penghujung tahun 2016 bagi membekal minyak diesel, menyelengg­ara jana kuasa dan memasang sistem solar hibrid di sekolah terpilih.

Bagaimanap­un, sehingga kini tidak ada satu pun sistem yang akan membekalka­n tenaga elektrik itu dipasang di manamana sekolah yang tersenarai dalam projek itu.

 ??  ?? Rizal Mansor
Rizal Mansor
 ??  ?? Rosmah Mansor
Rosmah Mansor

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia