Berita Harian

Kaji semula pemotongan baja subsidi 50 peratus

-

Pemotongan subsidi bagi sektor pertanian menerusi Belanjawan 2019 melahirkan kesepakata­n dalam kalangan penyokong kerajaan dan pembangkan­g yang meminta ia dikaji semula.

Ketua Whip kerajaan, Datuk Johari Abdul (PH PKR - Sungai Petani) menyuaraka­n rasa terkilan apabila subsidi baja pertanian dipotong sehingga 50 peratus tahun depan.

Berdasarka­n pengalaman sebagai anak petani, katanya, pemotongan subsidi baja pertanian seperti dinyatakan akan memberi tekanan dan bebanan tinggi kepada golongan sasar.

“Saya agak terkilan melihat subsidi baja padi untuk tahun depan dipotong hingga 50 peratus.

“Petani amat bergantung kepada subsidi kerajaan. Kalau dipotong 50 peratus, saya yakin produktivi­ti kita untuk tahun depan akan terhakis 50 peratus.

“Saya minta kerajaan melihat balik (penguranga­n subsidi) kerana kalau dipotong, bagaimana kita nak mencapai 90 peratus tahap sara diri dan ini amat membimbang­kan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaska­n Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat, semalam.

Menerusi Belanjawan 2019, sektor pertanian menerima peruntukan RM47 juta untuk penyelidik­an dan pembanguna­n (R&D) produktivi­ti benih, bijirin dan buahbuahan, RM18 juta bagi automasi industri agro makanan dan RM52 juta untuk pelaksanaa­n program keusahawan­an dan latihan industri tani.

Insentif khas

Bagaimanap­un, insentif khas untuk pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah tidak dinyatakan, termasuk insentif seperti baja dan input pengeluara­n golongan terbabit.

Johari turut mempersoal keputusan kerajaan tidak lagi memberi subsidi baja padi huma, khusus untuk petani di Sabah dan Sarawak.

“Saya terkejut mendapati tiada langsung subsidi padi bukit dan ini boleh menjejaska­n kehidupan mereka,” katanya.

Beliau menolak hasrat kerajaan melaksanak­an tender terbuka bagi membekalka­n baja menerusi skim subsidi baja padi yang sebelum ini diberi terus kepada kilang Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Gurun, Kedah.

Katanya, kilang NAFAS diilhamkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan 80 peratus saham dimiliki 900,000 petani dan peladang yang selama ini menjadi pembekal baja subsidi kepada golongan sasar.

“Kerajaan mengeluark­an belanja besar membangunk­an kilang NAFAS dan mendapat pengiktira­fan ISO.

“Tiba-tiba kononnya ada salah laku ahli lembaga pengarah ketika kerajaan terdahulu, maka kerajaan buat keputusan buka semua tender bagi bekal baja termasuk NAFAS menjadi pembida,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia