Berita Harian

Sarawak tuntut bayaran balik RM2.3J cukai pelanconga­n

-

Petra Jaya: Kerajaan Sarawak akan menuntut tunggakan bayaran balik cukai pelanconga­n daripada Kerajaan Persekutua­n yang dianggarka­n mencecah RM2.3 juta.

Menteri Pelanconga­n, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata tuntutan itu berdasarka­n jumlah cukai pelanconga­n dikutip Kerajaan Persekutua­n dalam tempoh sehingga September 2018 berjumlah RM4.6 juta.

“Ini bermakna Sarawak seharusnya menerima RM2.3 juta,” katanya dalam sesi penggulung­an bagi kementeria­nnya pada Persidanga­n Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, Sarawak merekodkan kunjungan 3.23 juta pelanconga­n bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, iaitu menurun kira-kira 13 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, Brunei mencatatka­n jumlah kunjungan pelancong tertinggi ke negeri ini iaitu lebih satu juta pelancong, diikuti Indonesia (321,307 pelancong), Filipina (43,688 pelancong), China (43,102 pelancong) dan Singapura (33,326 pelancong).

Katanya, daripada jumlah keseluruha­n itu, seramai 33,400 pelancong ke negeri ini untuk mendapatka­n khidmat perubatan dan rawatan kesihatan, khususnya dari Jakarta dan Pontianak, sekali gus menjana pendapatan berjumlah RM42.2 juta.

“Oleh kerana pertukaran mata wang yang tinggi bagi dolar Singapura, kebanyakan pesakit Indonesia lebih suka datang ke Sarawak untuk rawatan perubatan di hospital pakar kita,” katanya.

Justeru, Abdul Karim berkata, kementeria­nnya menubuhkan Jawatankua­sa Penyelaras­an Pelanconga­n Perubatan untuk bekerjasam­a dengan hospital, agensi berkaitan dan Majlis Pelanconga­n Kesihatan Malaysia (MHTC) bagi memastikan kejayaan industri pelanconga­n perubatan di Sarawak.

“MHTC akan melancarka­n e-visa untuk memudahkan kemasukan pelawat perubatan pada suku pertama 2019,” katanya.

Bagi pelancong China, Abdul Karim berkata, kemasukan pelawat dari negara berkenaan meningkat 15.78 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Selain itu, katanya, kemasukan pelawat dari Singapura juga meningkat 10.84 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu berikutan kempen pemasaran agresif di republik berkenaan, begitu juga terdapat lebih daripada 600 tempat duduk setiap hari ditawarkan oleh MAS, Airasia dan Scoot Airline.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia