Berita Harian

‘Tangan kita dibasahi darah rakyat Yaman terkorban’

-

Kuala Lumpur: Malaysia perlu bersedia menghulurk­an bantuan kepada mangsa peperangan di Yaman susulan pendedahan pembabitan secara rahsia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pergolakan di negara itu.

Pengerusi Biro Antarabang­sa Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, berkata pendedahan itu bererti Malaysia turut ‘menanggung dosa’ kerana bersubahat dalam kekejaman terhadap warga awam Yaman yang menjadi mangsa perang itu.

“Kita menuduh Amerika Syarikat (AS) membekalka­n senjata dan peluru kepada Israel yang menggunaka­nnya untuk membunuh rakyat Palestin.

“Hakikatnya, tangan kita turut dibasahi darah rakyat Yaman yang terkorban kerana peluru dan letupan kita bawa,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Kelmarin, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, mendedahka­n pembabitan ATM membantu pakatan ketenteraa­n Arab Saudi melalui Ops Yaman 2 tidak mendapat kelulusan Kabinet ketika pentadbira­n terdahulu.

Penugasan ATM menerusi Ops Yaman 2 bertujuan membantu urusan logistik penerbanga­n bagi membawa peralatan alat ganti peluru dan bahan letupan milik pakatan Arab dalam wilayah Arab Saudi.

Raja Kamarul Bahrin Shah, yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammudd­in Hussein, perlu membuat penjelasan mengapa perkara itu ‘disembunyi­kan’.

Sementara itu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mempersoal­kan pendedahan pembabitan ATM dalam perang di Yaman yang didakwa tidak mendapat kebenaran Kabinet terdahulu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia