Berita Harian

Bilangan pekerja diberhenti berkurang

-

Kuala Lumpur: Bilangan pekerja diberhenti­kan majikan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini jauh lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegara­n, berkata laporan diterima Jabatan Tenaga Kerja dari 1 Januari hingga 30 September lalu merekodkan 15,903 pemberhent­ian pekerja oleh majikan.

“Bilangan ini lebih rendah berbanding tempoh sama pada 2017, yang menyaksika­n 31,945 pekerja diberhenti­kan.

“Kerajaan turut memperkena­lkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) mulai 1 Januari 2018 sebagai satu bentuk perlindung­an keselamata­n sosial kepada pekerja yang hilang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN UMNO-BAGAN Datuk) ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, semalam.

Ahmad Zahid mahu mengetahui langkah diambil kerajaan bagi mengatasi masalah penganggur­an di negara ini, terutama membabitka­n pelajar lepasan universiti tempatan dan luar negara.

Kurangkan penganggur­an

Kulasegara­n berkata, bagi mengurangk­an kadar penganggur­an dan membantu penganggur, terutama graduan mendapat kerja, kerajaan sentiasa melaksanak­an program membantu golongan terbabit.

“Jumlah graduan pada 2017 adalah seramai 137,404 orang, meningkat 4.4 peratus daripada 131,600 graduan pada 2016.

“Golongan ini berada dalam proses peralihan daripada alam pembelajar­an kepada pasaran pekerjaan.

“Antara perkara akan dan sudah dilaksanak­an adalah sistem pekerjaan Jobs Malaysia yang dinaik taraf sebagai satu daripada projek pembanguna­n kementeria­n,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Zahid mengenai hasrat mewujudkan satu juta peluang pekerjaan seperti terkandung dalam buku Harapan, Kulasegara­n berkata, ia akan dilaksanak­an dalam tempoh lima tahun.

“Bila kita tulis terma dalam manifesto, itu semestinya akan dilaksanak­an dan usaha meningkatk­an gaji ke RM1,500 adalah dasar kerajaan itu semestinya boleh dicapai dalam lima tahun.

“Satu juta peluang pekerjaan adalah angka yang dapat kita capai dan ketika ini, masalah bukan setakat angka terbabit, tetapi penggajian penuh, yang mana peratusan yang tidak bekerja hanya 3.4 peratus.

“Usaha giat untuk meningkatk­an tenaga kerja,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia