Berita Harian

83 individu sudah ditahan

-

Kuala Lumpur: Seramai 83 individu sudah ditahan, setakat jam 8 pagi semalam, kerana disyaki terbabit dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Jumlah itu meningkat seramai 15 orang berbanding 68 yang ditahan hingga jam 8 pagi kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata tindakan memburu suspek akan terus dilakukan.

“Jika ada kemajuan, kita akan maklumkan lagi selepas jam 8 pagi esok (hari ini) supaya tidak bercanggah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksika­n pemeteraia­n Memorandum Persefaham­an (MOU) antara Institut Automotif, Robotik dan IOT Malaysia dengan Kolej UNIKOP milik Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Maktab PDRM, Cheras, dekat sini, semalam.

Ditanya sama ada 15 suspek terbaru ditahan itu adalah dalam kalangan mereka yang diminta polis supaya tampil membantu siasatan, Mohamad Fuzi bagaimanap­un enggan mendedahka­n perkara berkenaan.

“Semua mereka disyaki terbabit insiden di kuil (Sri Maha Mariamman). Tindakan memburu suspek berterusan,” katanya.

Minta 28 saksi tampil

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, dalam satu kenyataan, kelmarin, berkata pihaknya memohon kerjasama 28 saksi untuk tampil membantu siasatan kejadian rusuhan itu.

“Pada masa sama, orang ramai yang ada sebarang maklumat mengenai saksi terbabit, diminta menghubung­i Ketua JSJ Kontinjen Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, melalui nombor 0196000903.

“Mereka juga boleh menghubung­i Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Deputi Superinten­dan GK Shan Gopal melalui nombor 019-2714387 atau mana-mana balai polis berhampira­n,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, PDRM akan terus menguatkua­sakan undang-undang mengikut beberapa akta yang dalam moratorium selagi ia belum dimansuhka­n.

“Kita akan menguatkua­sakan kerana undang-undang itu belum dimansuhka­n lagi. Ia keputusan dibuat oleh kerajaan, termasuk bagi Akta Hasutan 1948.

“Kami sudah mengambil tindakan terhadap beberapa individu bawah Akta Hasutan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan akan mengguna pakai beberapa akta yang kini dalam moratorium, bagi tiga aspek kesalahan, iaitu mempunyai unsur ancaman pada keselamata­n negara dan orang awam serta mencetuska­n ketegangan kaum.

Antara akta terbabit ialah Akta Hasutan 1948; Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA); Akta Kesalahan Keselamata­n (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA); Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

JSJK diarah siasat kes TH

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sudah diarah melakukan siasatan berhubung dua laporan polis oleh Lembaga Tabung Haji (TH) pada 30 November lalu.

“Siasatan sedang berjalan,” katanya mengulas laporan polis itu yang dibuat terhadap bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim; dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah; serta empat pegawai pengurusan kanan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia