Berita Harian

‘Semakan semula bajet jika minyak bawah AS$30’

Kejatuhan drastik kadar bahan api punca harga sawit, getah turutsusut

- Oleh Nurhayati Abllah

Penurunan mendadak harga minyak mentah global tidak memberi kesan drastik kepada ekonomi negara dan semakan semula ke atas Belanjawan 2019 hanya perlu dipertimba­ngkan jika ia terus merudum ke bawah paras AS$30 satu tong, seperti yang pernah dicapai pada awal 2016, kata ahli ekonomi.

Harga penanda aras minyak mentah global, Brent menjunam daripada AS$86.29 satu tong pada 3 Oktober 2018 kepada sekitar AS$62 satu tong semalam. Kejatuhan drastik harga bahan api itu juga turut mempengaru­hi penurunan dua lagi komoditi utama negara seperti sawit dan getah.

Harga minyak sawit mentah (MSM) dan harga getah SMR20 yang diniagakan masingmasi­ng pada RM2,156 satu tan dan RM5.85 sekilogram pada 17 Oktober lalu, susut kepada sekitar RM1,900 dan RM5.139, baru-baru ini.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata penurunan harga minyak mentah boleh memberikan kesan terhadap subsidi minyak yang mana ia seharusnya berkuranga­n dan begitu juga dengan pendapatan daripada minyak oleh kerajaan.

“Bagaimanap­un, kos pengeluara­n minyak masih kompetitif bagi syarikat pengeluar minyak seperti PETRONAS,” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata, berdasarka­n data daripada Bloomberg, kadar sewa bagi kapal penggerudi­an minyak (jack-up rig) berada pada kadar AS$73,000 sehari pada November berbanding AS$114,000 sehari pada 2014.

Keuntungan masih baik

“Oleh itu, keuntungan syarikat pengeluar minyak masih dalam keadaan baik pada harga minyak semasa berikutan kos pengeluara­n yang rendah.

“Namun, sekiranya harga minyak terus merudum pada tahap yang pernah dicapai pada awal 2016 iaitu di bawah AS$30 satu tong, berkemungk­inan perlu ada semakan terhadap bajet sedia ada,” katanya.

Menurut agensi penarafan antarabang­sa, Moody’s Analytics, harga satu lagi penanda aras minyak mentah global iaitu West Texas Intermedia­te (WTI), diunjurkan berada pada AS$69.1 satu tong tahun ini dan bergerak kepada AS$67.2 satu tong pada 2019 dan AS$63.5 satu tong pada 2020.

Sementara S&P Global Ratings menyemak semula unjuran penanda aras minyak mentah Brent kepada AS$70 satu tong pada 2019 berikutan ia dijangka tidak terus kukuh melebihi AS$80, dipengaruh­i oleh kebimbanga­n mengenai bekalan.

Unjuran awal firma penarafan itu untuk Brent adalah AS$65 satu tong pada 2019 dan bagi 2020 ia mencecah AS$60 satu tong.

Ketika diminta mengulas mengenai kesan kepada pergerakan ringgit, Mohd Afzanizam berkata, pergerakan nilai mata wang tempatan itu sememangny­a mengambil kira situasi harga minyak semasa dan pada masa hadapan berikutan kadar kebergantu­ngan kerajaan terhadap sumber minyak dilihat semakin meningkat.

“Namun, kita juga perlu sedar bahawa pergerakan harga minyak juga dipengaruh­i oleh kegiatan spekulasi pasaran.

“Oleh itu, agak sukar bagi membuat keputusan berdasarka­n pergerakan harga minyak dalam tempoh singkat,” katanya.

Jejas perancanga­n

Sementara itu, Penganalis­is Pasaran Saham, Nazarry Rosli, juga berpendapa­t harga minyak yang terus menurunkan akan menyebabka­n pendapatan negara akan berkuranga­n yang mana ia akan menjejaska­n perancanga­n perbelanja­an ke atas pembanguna­n yang dirancang sebelum ini.

Selain itu katanya, ia turut memberi kesan kepada ringgit kerana akan berlaku tekanan ke atas pergerakan harga unit tempatan itu berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disebabkan penguranga­n pendapatan negara yang dijangkaka­n.

Bagi tempoh terdekat, beliau turut menjangkak­an ringgit akan menguji dan berlegar di sekitar paras RM4.20 berbanding satu dolar AS.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia