Berita Harian

Cuba mahu perkukuh nilai dagangan dengan Malaysia

Jumlah urus niaga hanya RM46.2J setahun sejak 2016

- Oleh Ibrahim Isa

Cuba berhasrat memperting­katkan nilai dagangan dua hala dalam pertemuan dengan Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking di Kuala Lumpur, esok.

Duta Cuba ke Malaysia, Ibete Fernandez Hernandez, berkata negara itu mempunyai hubungan baik dengan Malaysia sejak 1976, namun dari segi dagangan, ia masih boleh dibaiki.

“Buat masa ini, jumlah dagangan kedua-dua negara agak rendah iaitu hanya kira-kira AS$11 juta (RM46.2 juta) setahun sejak 2016 dan sebab itulah kami cuba untuk mencari peluang untuk meningkatk­annya.

“Selama ini, kami banyak membawa masuk vaksin ke Malaysia, termasuk untuk Hepatitis B dan bercadang menambah jenis vaksin seperti pelbagai ubat, terutama berkaitan kencing manis dan kanser.

“Pada masa sama, kami mengimport minyak sawit dari Malaysia dan bersedia membuka lebih banyak ruang untuk menambah jenis perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tugu peringatan mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH653 di Jalan Kebun Teh, dekat Johor Bahru, semalam.

Pesawat berkenaan terhempas pada 4 Disember 1977 di Tanjung Kupang, Gelang Patah, akibat dirampas pengganas, membunuh 100 penumpang termasuk tujuh anak kapal.

Beri penghormat­an

Fernandez Hernandez hadir memberikan penghormat­an kepada Duta Cuba pertama ke Malaysia, Mario Garcia Inchausteg­ui dan isterinya yang turut maut dalam kejadian itu.

Kejadian itu turut mengorbank­an Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid; Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican serta dua pegawai Bank Dunia, OD Hoerr dan SA Naime.

Fernandez Hernandez berkata, ia saat istimewa untuk wakil kerajaan Cuba di Malaysia kerana berpeluang memberikan penghormat­an kepada Inchausteg­ui yang juga seorang daripada duta sangat unggul dan seorang sahabat baik.

“Duta Cuba di Malaysia akan melawat tugu ini sebagai tanda penghargaa­n atas segala pengorbana­n Inchausteg­ui selama ini. Beliau seorang duta unggul yang berkhidmat dengan cemerlang di beberapa negara seperti di Jepun sebelum ke Malaysia,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia