Berita Harian

SK magic sasar 500,000 pelanggan

Syarikat tawar produk penulen air, udara secara sewaan

- Oleh Nabil Basaruddin

SK Group menerusi cabang perkakasan rumah, SK magic kini mula berada di pasaran Malaysia dan pertama di Asia Tenggara yang menawarkan produk seperti penulen air dan udara.

Dalam tempoh setahun, SK magic merancang untuk melantik 2,000 konsultan produk dan mempunyai visi untuk mempunyai 500,000 pelanggan dalam lima tahun.

Pengarah Urusan SK Network Retails Malaysia, Park Nam Su, berkata untuk pasaran tempatan pihaknya menawarkan lapan produk penulen air dan tiga produk penulen udara.

Beliau berkata, Malaysia adalah pasaran yang pesat berkembang, sekali gus menjadi sebagai pilihan utama untuk dijadikan sebagai negara pertama untuk memperkena­lkan produk dari SK magic.

“Model perniagaan kami adalah mudah, iaitu dengan menawarkan perkakasan rumah secara sewaan bagi produk penulen air yang menggunaka­n teknologi penulenan air, Jik Soo.

“Kadar sewaan yang ditawarkan juga adalah berpatutan dan mampu milik iaitu antara RM70 hingga RM130 sebulan mengikut jenis produk.

Langkah tepat

“Apa yang menarik bagi pasaran Malaysia adalah, negara ini mempunyai persamaan dengan Korea Selatan dari segi permintaan­nya, jadi ini adalah langkah tepat kepada syarikat untuk berada di sini,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, semalam.

SK magic mula berada di Malaysia sejak September 2018 dan yakin untuk menjadi peneraju pasaran produk penulen air dan udara selepas lima tahun berada di negara ini.

Mengulas lanjut bagi pengembang­an perniagaan dan operasi di negara ini, Nam Su berkata, pihaknya akan meluaskan capaian perkhidmat­an produknya ke Sabah dan Sarawak pada penghujung 2019.

“Buat masa ini kita beroperasi di Lembah Klang, Ipoh, Pulau Pinang dan Johor dengan 1,100 konsultan untuk produk di bawah SK magic.

“Ia permulaan yang baik dan diharap dapat memenuhi keperluan serta permintaan bagi air dan udara bersih untuk rakyat negara ini,” katanya.

Tambahnya, dari segi pemasaran, pihaknya akan memperkena­lkan beberapa iklan komersial di televisyen sebagai usaha untuk memperluas capaian jenama itu.

SK magic mempunyai kehadiran di 20 negara termasuk di Timur Tengah seperti Iran dan Arab Saudi dan adalah jenama penulen air dan udara kedua dari segi kedudukan dalam pasaran di Korea Selatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia