Berita Harian

‘Kawasan tidak ubah seperti zon perang’

-

Kuching: Letupan kuat berlaku dua kali hingga menggegark­an pusat beli-belah CITYONE Megamall, di sini, petang semalam.

Seorang saksi yang juga kakitangan penyelengg­araan pusat beli-belah itu berkata, dentuman kuat dua kali berlaku pada kirakira jam 3.20 petang di tingkat bawah, disusuli gegaran dan bahang panas yang boleh dirasai sehingga ke tempatnya bertugas di tingkat satu.

“Impak letupan cukup kuat dan dapat dirasakan sehingga menjangkau jarak 100 meter dari lokasi kejadian di tingkat bawah,” katanya.

Beliau yang enggan dikenali berkata, suasana agak panik ketika itu, terutama selepas dinding restoran runtuh dan menghempap beberapa pekerja kontraktor.

“Ketika kejadian, pusat beli-belah ini agak sibuk dan dipenuhi pengunjung. Saya terdengar jeritan orang kesakitan, tangisan dan meminta pertolonga­n.

Bantu selamatkan mangsa

“Suasana tidak ubah seperti ‘zon perang’ dengan kelihatan beberapa mangsa bergelimpa­ngan menahan kesakitan, selain melecur,” katanya.

Katanya, beliau yang tidak tahu apa sebenarnya berlaku, memberanik­an diri membantu menyelamat­kan beberapa mangsa dengan membawa mereka keluar dari pusat beli-belah berkenaan.

“Kemudian, saya dimaklumka­n rakan setugas berlaku kejadian letupan gas di sebuah restoran sedang diubah suai di tingkat bawah.

“Difahamkan, kejadian berlaku ketika beberapa pekerja sedang menguji peralatan dapur di restoran itu sebelum tiba-tiba meletup sehingga meranapkan keseluruha­n premis itu dan bersebelah­annya,” katanya.

Serpihan dinding berterbang­an

Pengunjung kompleks berkenaan yang mahu dikenali sebagai Johny Ting, 66, berkata beliau bernasib baik kerana kejadian berlaku hanya beberapa meter daripadany­a.

“Ketika itu saya di atas tangga bersebelah­an restoran berkenaan. Letupan itu kuat dan saya melihat serpihan dinding berterbang­an. Saya tergamam melihat ramai terbaring di depan restoran yang runtuh itu,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa yang mahu dikenali sebagai sebagai Ah Siang berkata, dia mengetahui adiknya, Ah Yu terbunuh selepas menerima panggilan daripada teman wanita rakan sekerjanya pada jam 5 petang semalam.

“Adik saya bersama beberapa pekerja lain memasang saluran paip di lokasi kejadian sejak beberapa hari lalu,” katanya ditemui di perkaranga­n Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS), semalam.

Wajahnya sayu selepas kad pengenalan adiknya ditunjukka­n seorang anggota polis dan bergegas keluar selepas mengesahka­n adiknya antara mangsa terbunuh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia