Berita Harian

Kali ini milik Modric

Tonggak Croatia ketepi cabaran Ronaldo, Messi kali kedua

-

Bintang tengah Real Madrid dan Croatia, Luka Modric dinobat pemenang Anugerah Ballon d’or 2018, kelmarin sekali gus merobek dominasi selama sedekad oleh Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi untuk anugerah berprestij berkenaan.

Penyerang Juventus dan pemenang edisi 2017, Ronaldo berada di kedudukan kedua, manakala penyerang Atletico Madrid dan Perancis, Antoine Griezmann ketiga.

Pemain muda Perancis dan Paris St Germain, Kylian Mbappe yang turut meraih anugerah Kopa bagi pemain bawah 21 terbaik berada di kedudukan keempat diikuti penyerang Barcelona, Lionel Messi.

Modric, 33, cemerlang membantu Real menjulang gelaran ketiga berturut-turut Liga JuaraJuara pada Mei lalu sebelum mengetuai Croatia melangkah ke final Piala Dunia di Russia tetapi tewas 4-2 kepada Perancis.

“Ia perasaan yang unik. Saya gembira dan amat berbangga, emosi saya bercampur baur ketika ini, sukar menggambar­kannya dengan kata-kata.

“Satu penghormat­an untuk berada di sini bersama semua pemain ini. Saya masih cuba untuk sedar yang saya kini sudah menjadi sebahagian daripada kumpulan pemain yang menakjubka­n untuk memenangi Ballon d’or sepanjang sejarahnya,” kata Modric yang memakai tuxedo ketika menerima anugerah berkenaan daripada bekas penyerang Perancis, David Ginola.

Tampil magis

Modric yang menyertai Real dari Tottenham Hotspur pada 2012 dan dilaporkan bernilai AS$45.40 juta (RM189.11 juta) dikritik hebat pada musim pertamanya di Bernabeu dan dinamakan pembelian terburuk oleh undian yang dibuat akhbar Sepanyol, Marca.

Tetapi perancang tengah kreatif itu mula menampilka­n magisnya ketika di Spurs selepas ketibaan Jose Mourinho yang memberinya tugas di bahagian tengah berbanding di posisi menyerang ketika dia mula menyertai kelab berkenaan.

Modric berkata, perubahan itu kali pertama dicadangka­n oleh Harry Redknapp di Tottenham mengubah prestasiny­a.

“Perubahan posisi banyak membantu dalam karier saya. Saya kebiasaann­ya bermain dengan corak menyerang. Apabila saya berada sedikit belakang, saya boleh membaca permainan dengan lebih baik dan menunjukka­n kreativiti saya,” katanya.

Sebagai rekod, Modric menjadi pemain Croatia pertama memenangi Ballon d’or selain memenangi anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA pada Oktober lalu.

Sementara itu, penyerang Lyon dan Norway, Ada Hegerberg memenangi anugerah sama bagi wanita selepas membantu kelabnya menjuarai Liga Juara-juara Eropah Wanita dengan meledak gol ketika kemenangan 4-1 ke atas Vfl Wolfsburg pada final.

 ?? [ FOTO REUTERS ] ??
[ FOTO REUTERS ]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia