Berita Harian

‘Tiada sebab Speaker minta buat sedemikian’

-

Kuala Lumpur: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tiada sebab Speaker perlu meminta Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh keluar dari Dewan Rakyat, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata arahan Speaker, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff kepada Sivarraajh adalah bertentang­an dengan Perkara 50 Perlembaga­an Persekutua­n.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kepada Sivarraaja­h kerana kes pembatalan keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands masih lagi dalam proses rayuan. Beliau (Sivarraajh) masih Ahli Parlimen yang sah.

“Jadi, tiada sebab untuk beliau diusir semata-mata kerana desakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, tanpa meneliti peruntukan Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Zahid berkata, keputusan membatalka­n kemenangan Sivarraajh di Cameron Highlands tiada kaitan dengan kehadiran di Dewan Rakyat kerana beliau akan membuat rayuan dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan.

“Oleh itu, kerusi Parlimen Cameron Highlands tidak boleh dikosongka­n mengikut Perkara 50 Perlembaga­an Persekutua­n sehingga Hakim Pilihan Raya memperoleh keputusan kes rayuan Mahkamah Persekutua­n.

Perlu benar hadiri sidang

“Speaker perlu membenarka­n Sivarraajh menghadiri sidang Parlimen seperti yang diperuntuk­kan di bawah Undang-undang Pilihan Raya,” katanya.

Menurut beliau lagi, apabila Mahkamah Pilihan Raya membatalka­n kemenangan Sivarraajh dan menyebabka­n kemungkina­n satu pilihan raya kecil diadakan, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu boleh membuat rayuan ke Mahkamah Persekutua­n.

“Mereka boleh memfailkan notis rayuan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan seperti yang termaktub di bawah Seksyen 36A(2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Jika dirujuk Seksyen 36C akta berkenaan pula, keputusan Hakim Pilihan Raya adalah muktamad hanya selepas sebarang rayuan yang difailkan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan,” katanya.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytih­arkan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei lalu yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan penyandang kerusi itu, Sivarraajh.

Dalam PRU-14, Sivarraajh menang dengan majoriti 597 undi dalam saingan lima penjuru.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia