Berita Harian

Polis dibenar fail pertuduhan jenayah lima individu

-

Kuala Lumpur: Polis mendapat kebenaran daripada Peguam Negara untuk memfailkan pertuduhan jenayah terhadap lima individu membabitka­n siasatan 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata lima individu itu ialah ahli perniagaan, Low Taek Jho; peguam 1MDB, Loo Ai Swan; bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Tang Keng Chee; bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan Tan Kim Loong.

Beliau berkata, sebanyak 13 pertuduhan dihadapi lima individu itu membabitka­n wang berjumlah AS$1.17 bilion (RM4.2 bilion).

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menjalanka­n siasatan terhadap 1MDB atas pelbagai kesalahan jenayah membabitka­n transaksi kewangan dan urus niaga dijalankan syarikat 1MDB.

“Hasil siasatan polis dikemukaka­n dan ditaklimat­kan kepada Peguam Negara pada 3 Disember lalu, berdasarka­n kuasa yang diperuntuk­kan kepada beliau.

“Setelah meneliti kes, Peguam Negara membuat keputusan supaya polis memfailkan pertuduhan jenayah mengikut Kanun Keseksaan serta Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) terhadap lima penama itu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Waran tangkap sudah dikeluarka­n

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya memfailkan tuduhan terhadap individu terbabit di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur, kelmarin.

“Jho Low hadapi lima pertuduhan, Jho Low dan Kim Loong secara bersama hadapi dua pertuduhan, Keng Chee pula dengan tiga pertuduhan.

“Ai Swan dan Choh Heng masing-masing dua dan satu pertuduhan,” katanya.

Beliau berkata waran tangkap sudah dikeluarka­n untuk mengesan lima individu itu yang melarikan diri dari negara ini.

“PDRM akan bekerjasam­a dengan pihak berkuasa luar negara dan Interpol dalam membantu mengesan mereka,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia