Berita Harian

PAC terima bukti ada pindaan laporan akhir audit 1MDB: Kiandee

-

Kuala Lumpur: Jawatankua­sa Kira-kira Wang Negara (PAC), semalam menerima bukti daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bagi mengesahka­n berlaku pindaan pada Laporan Akhir Pengaudita­n 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata PAC turut menerima beberapa nama baharu yang akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pindaan laporan audit syarikat pelaburan strategik negara itu.

Prosiding memuaskan hati

“Saya tak boleh kongsi bukti diberikan, tetapi kami memang menjangkak­an Madinah akan memberi keterangan yang selari dengan kenyataan media beliau.

“Perjalanan prosiding hari ini (semalam) memuaskan hati PAC dan kami menerima banyak keterangan daripada Madinah serta pasukannya mengenai isu disiasat iaitu sama ada laporan audit 1MDB itu diubah atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengeru­sikan prosiding PAC berhubung Laporan Akhir Pengaudita­n 1MDB membabitka­n Madinah di bangunan Parlimen, semalam.

Pada 25 November lalu, Madinah dalam satu kenyataan media mendedahka­n, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengarahka­n pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengaudita­n 1MDB menerusi penggugura­n beberapa perenggan.

Antara penggugura­n maklumat itu termasuk membabitka­n kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Kelmarin, PAC memanggil bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang bagi menjalani prosiding sama dan menerima maklumat maklumat baharu berhubung kes berkenaan.

Portal berita NST yang memetik sumber semalam melaporkan, Ambrin memberitah­u PAC, tiada pindaan dilakukan pada laporan audit 1MDB itu, manakala laporan asal didedahkan Madinah hanyalah draf.

Kiandee berkata, tiada keperluan memanggil semula Madinah dan PAC akan meneruskan prosiding hari ini dengan memanggil bekas Pengarah Sektor Audit Kerajaan, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, sebelum siasatan disambung pada Januari.

Semua bukti sudah diserah

Sementara itu, Madinah yang ditemui selepas prosiding itu berkata, segala dokumen dan bukti sudah diserah kepada PAC, termasuk mengenai sama ada Najib mengarahka­n pindaan dilakukan terhadap laporan audit 1MDB.

Madinah yang tiba ke Parlimen kira-kira jam 3 petang, memaklumka­n turut menyerahka­n laporan asal audit 1MDB yang tidak dipinda kepada PAC.

Terdahulu, Ambrin dan bekas Ketua Pesuruhjay­a SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, memberi keterangan kepada Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung siasatan pindaan Laporan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia