Berita Harian

Tiada usul undi tak percaya terhadap Ahmad Faizal

-

Ipoh: Usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang diuaruarka­n sebelum ini, tidak berlaku sehingga hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, semalam.

Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming, ketika mengesahka­n perkara itu menyifatka­n dakwaan terdapat usaha untuk mengguling­kan Ahmad Faizal diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari, sebagai suatu penipuan oleh Ketua pembangkan­g, Datuk Saarani Mohamad.

Kor Ming yang juga ADUN Aulong mendakwa ia sebagai permainan politik Saarani untuk memesongka­n rakyat dan mempermain­kan media selain mengalihka­n isu membabitka­n Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) yang didedahkan Ahmad Faizal pada sesi penggulung­annya.

“Saya boleh memberi jaminan semua 18 ADUN DAP berdiri teguh di belakang Menteri Besar, malahan kami semua 31 ADUN (Pakatan Harapan) kukuh berada di belakang Menteri Besar,” katanya pada sidang media di bilik sidang media DUN Perak di sini, semalam.

Saarani pada sidang media semalam kekal dengan dakwaannya bahawa Abdul Aziz yang juga EXCO kerajaan negeri menjadi dalang mengguling­kan Ahmad Faizal.

Ada bukti

Beliau dilaporkan berkata, mempunyai bukti menerusi akuan bersumpah (SD) lima ADUN UMNO yang ditemui Abdul Aziz.

Ini termasuk gambar pertemuan terakhir Naib Pengerusi DAP Perak itu dengan ADUN UMNO terbabit di sebuah resort di Taiping, Sabtu lalu.

Kor Ming berkata, sesiapa sahaja boleh membuat SD, bukan hanya lima ADUN UMNO berkenaan, selain mempersoal­kan adakah gambar Abdul Aziz minum petang bersama rakan ADUN lain boleh dijadikan hujah bagi membuktika­n dakwaan berkenaan.

“Jika saya pergi makan di rumah (ADUN Pangkor) (Datuk Seri Dr) Zambry (Abdul Kadir), adakah ia bermakna saya menyokong Zambry menjadi Menteri Besar?

“Sesiapa pun boleh minum teh dengan rakan ADUN. Sejak bila rakan ADUN tidak boleh minum petang bersama. Jelas, BN ketandusan idea, minta dia perjelaska­n di mana duit rakyat RM40.1 juta dalam MB Inc.

“Motifnya (membangkit­kan isu cuba menjatuhka­n Menteri Besar), untuk memporak-peranda kerajaan negeri supaya ada ruang dan peluang untuk (BN) merampas kuasa,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu mengambil keterangan Abdul Aziz, Kor Ming berkata parti itu bersedia memberi kerjasama kerana tiada apa yang mahu disembunyi­kan.

 ?? [FOTO MUHAIZAN YAHYA/BH] ?? Kor Ming pada sidang media di Ipoh, semalam.
[FOTO MUHAIZAN YAHYA/BH] Kor Ming pada sidang media di Ipoh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia