Berita Harian

Adib beri reaksi positif

IJN sahkan jantung anggota bomba berfungsi baik tanpa sokongan mesin ECMO

- Oleh Faris Fuad

Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, memberi reaksi positif selepas menukar sistem sokongan kepada mesin Extracorpo­real Membrane Oxygenatio­n (ECMO) yang membantu fungsi paru-paru, pada Ahad lalu.

Jabatan Komunikasi Korporat Institut Jantung Negara (IJN), dalam satu kenyataan, semalam menyebut, jantung Muhammad Adib berfungsi dengan baik tanpa sokongan mesin.

Tanda pemulihan awal

“Paru-paru kiri mangsa menunjukka­n tanda pemulihan awal. Beliau tidak memerlukan begitu banyak bantuan oksigen dan alat ventilator sejak malam tadi,” katanya.

Menurut kenyataan, Muhammad Adib masih perlu menjalani rawatan dialisis untuk buah pinggang walaupun organ itu sudah bertambah baik.

“Muhammad Adib kini sedang menjalani rehabilita­si paru-paru. Dia juga didedahkan dengan senaman anggota badan bersama pegawai fisioterap­i IJN,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Klinikal IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim, berkata Muhammad Adib akan terus ditempatka­n di Unit Rawatan Rapi (ICU), IJN sehingga sembuh sepenuhnya.

“Proses pemulihan mengambil masa, kita harus bersabar, kita puas hati dengan perkembang­an positif Adib dari semasa ke semasa, yang kini berada pada tahap 70 peratus seperti dilaporkan sebelum ini.

Kekal di ICU

“Adib akan terus kekal di ICU, kita harap perkembang­an yang lebih ketara dalam masa dua hingga tiga minggu ini,” katanya.

Muhammad Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmat­an Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, cedera parah dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada 27 November lalu.

Insiden itu menyebabka­n 23 kenderaan musnah dibakar perusuh, sebuah bangunan rosak selain gangguan kepada ketenteram­an awam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia