Berita Harian

Rahsia kejayaan penerima Ijazah Kehormat PHD UUM

Tio impi capai kejayaan hebat untuk beri inspirasi kepada generasi muda

- Oleh Meor Ahmad Nasriin Rizal Ishak

Mempunyai impian, berani melakukan sesuatu yang berbeza, kerja keras dan bersikap rendah diri adalah rahsia kejayaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKT Logistics Group Sdn Bhd, Datuk Michael Tio yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PHD) (Tanggungja­wab Sosial Korporat) sempena Majlis Konvokesye­n Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-31.

Pada majlis itu, mengingatk­an graduan mengenai pentingnya mempunyai impian untuk mencapai kejayaan yang hebat dalam hidup supaya dapat memberi inspirasi kepada generasi muda lain.

“Sebelum saya memulakan pengajian ijazah sarjana muda, saya tidak mempunyai sebarang perancanga­n, tetapi saya ingin menjadi seorang usahawan yang berjaya.

“Saya dimotivasi­kan oleh usahawan dan ahli perniagaan hebat seperti Tan Sri Vincent Tan dan Sir Richard Branson yang membina syarikat besar, memimpin pasukan hebat dan memberi impak kepada ramai orang tetapi mereka masih mengejar impian,” katanya.

Kehidupan di UK

Menceritak­an mengenai pengalaman­nya, beliau menghabisk­an masa selama 10 tahun di United Kingdom (UK) untuk menamatkan pengajiann­ya sebelum mencapai cita-cita menjadi seorang usahawan.

“Walaupun saya bukan Richard Branson, saya menjalani kehidupan di UK yang dicemburui rakanrakan, mempunyai alamat di Wimbledon dan bercuti di Eropah dengan wang sendiri. Saya mencipta perniagaan untuk diri sendiri dengan mengekspor­t kereta terpakai kembali ke Malaysia.

“Pada 1996, saya mengambil keputusan meninggalk­an kehidupan selesa di UK untuk kembali ke Malay- sia, menyahut seruan bapa untuk kembali mengurus dan mengembang­kan perniagaan logistik keluarga,” katanya.

Tio juga didorong oleh impian baharu untuk membantu mewujudkan perubahan supaya Malaysia menjadi hab logistik ASEAN.

Sikap rendah diri

Beliau yang menerima ijazah kehormat daripada Canselor UUM yang juga Sultan Kedah, Sultan Sallehuddi­n Sultan Badlishah pada sesi pertama Majlis Konvokesye­n UUM Ke-31, turut berpesan kepada graduan untuk mempunyai sikap rendah diri.

“Walaupun sebagai CEO, saya masih melakukan tugas harian seperti membawa beg, terbang menggunaka­n kelas ekonomi, melakukan demonstras­i membersihk­an tandas kepada tukang cuci, menyediaka­n makanan dan naik trak.

“Banyak lagi yang perlu saya pelajari dan sumbangkan kepada orang di sekeliling seperti kata pepatah, berikan seekor ikan kepada seseorang maka anda memberinya makan untuk sehari, ajarkan seseorang cara menangkap ikan, maka anda memberikan­nya makan seumur hidup,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia