Berita Harian

Anggota URB maut dirempuh

Rakan setugas parah dilanggar kereta terbabas ketika bertugas

- Oleh Nor Azizah Mokhtar

Seorang anggota Unit Rondaan Bermotosik­al (URB) maut manakala rakan setugasnya parah dirempuh sebuah kereta yang dipercayai terbabas di Jalan Semantan di sini, semalam.

Konstabel Mohd Zamri Sinsian, 26, meninggal dunia di lokasi, manakala Konstabel Osman Ibrahim, 23, parah di kepala dalam kejadian jam 3.50 pagi.

Seorang lagi anggota URB yang berada di lokasi, Koperal Mohd Samsul Ishak terselamat.

Semua anggota berkenaan daripada URB Balai Polis Travers di sini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat manakala anggota yang cedera dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Periksa kenderaan di tepi jalan

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata sebelum itu, tiga anggota berkenaan sedang membuat pemeriksaa­n ke atas sebuah kereta di tepi Jalan Semantan.

Katanya, sebuah kereta menuruni bukit yang dipercayai terbabas, merempuh dua anggota URB terbabit dari arah belakang.

“Seorang anggota meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi mengalami pendarahan di kepala. Seorang lagi anggota URB terselamat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Zulkefly berkata, pemandu kereta berusia 44 tahun yang tidak mengalami kecederaan, ditahan bagi membantu siasatan.

“Lelaki itu turut menjalani ujian alkohol dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia