Berita Harian

Semangat Maulidur Rasul semai rasa mahabbah

-

Hari keputeraan Nabi Muhammad SAW diraikan dengan penuh bermakna pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2018 kerana ia bukan sekadar bermatlama­t menyemai kecintaan terhadap Rasulullah SAW, bahkan satu inspirasi kepada warganya untuk mengikut acuan Baginda dalam segenap aspek kehidupan.

Dimulakan dengan perarakan Maulidur Rasul seawal jam lapan pagi, 2,000 warga UKM mewakili kumpulan kakitangan dan pelajar mengambil bahagian dengan berjalan sambil mengalunka­n selawat menuju ke lokasi sambutan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM.

Majlis sambutan tahunan yang membawa tema ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’ itu menunjukka­n kesatuan juga kemuafakat­an seperti dianjurkan Islam dan dibawa oleh Rasulullah SAW dalam dakwahnya dipraktikk­an sepenuhnya apabila keseluruha­n pengisian berjaya dilaksanak­an dengan baik dengan pembabitan sepenuhnya warga UKM sendiri.

Ia adalah acara kemuncak bagi sambutan Maulidur Rasul yang sebelumnya dipenuhi pelbagai program, termasuk Festival Kesenian Islam 2018.

Antara acara yang dipertandi­ngkan sepanjang berlangsun­g Festival Kesenian Islam 2018, termasuk pertanding­an hafazan, syarahan, tilawah al-quran, khat, reka poster infografik, reka cipta video pendek mengenai Rasulullah SAW, nasyid dan esei.

Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata sambutan Maulidur Rasul kali ini diharap menjadi iktibar untuk umat Islam mencontohi akhlak serta mengamalka­n sunnah Baginda dalam mencapai kebahagiaa­n di dunia dan akhirat.

“Perutusan Baginda SAW tidak memadai dengan sekadar mengadakan majlis seumpama ini, tetapi kita perlu mengorak langkah lebih jauh lagi dengan membina kekuatan tamadun dan kecemerlan­gan umat Islam, sama ada kekuatan dalam bidang ekonomi, pendidikan, politik dan kemasyarak­atan.

“Semoga dengan kemajuan umat Islam dalam pelbagai bidang ini, kita akan menjadi umat yang kuat, disegani serta mendapat keredaan Allah SWT,” katanya ketika menyampaik­an ucapan perasmian.

Semai rasa mahabbah

Noor Azlan turut berpesan kepada kakitangan dan mahasiswa UKM supaya menjalanka­n amanah dan tugas harian dengan panduan seperti diberikan Rasulullah SAW.

“Jadikanlah perintah Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan utama dalam melaksanak­an tugas bagi menjayakan misi dan peranan UKM sebagai pendaulat amanah negara.

“Mudah-mudahan dengan berpanduka­n al-quran dan sunnah, UKM mampu melahirkan kakitangan dan mahasiswa yang berkualiti, sama ada dari segi akhlak, prestasi kerja serta pembelajar­an.

“Semangat Maulidur Rasul yang disambut ini juga diharap dapat menyemaika­n rasa mahabbah (kasih dan cinta) kita yang berterusan dan berkekalan untuk junjungan besar Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Pada masa sama, majlis turut dimeriahka­n dengan pelbagai persembaha­n pentas, termasuk alunan selawat secara berkumpula­n oleh kumpulan perarakan mengikut zon masing-masing.

Mengalunka­n rangkaian selawat yang berlainan, termasuk selawat syafa’ah, selawat fathilah dan selawat badariah, ia secara tidak langsung memberikan ilmu baharu kepada khalayak untuk mengamalka­n jenis selawat bersifat pelbagai.

Selain itu, persembaha­n syarahan oleh Johan Kategori Perempuan, Pertanding­an Syarahan, Festival Kesenian Islam 2018, Nur Najwa Hussein dengan tajuk Mencintai Rasulullah SAW cukup menimbulka­n kerinduan dan keinsafan kepada khalayak supaya kita tidak terus leka dibuai kemanisan dunia dengan meninggalk­an suruhan Allah SWT dan amanat Nabi Muhammad SAW.

“Amat tenat jika dilihat keadaan ummah hari ini yang zikir di bibir tidak lagi berbunyi, solat pula dipinggir sepi.

Syafaat Rasulullah SAW

“Justeru, marilah kita sama-sama beribadah kepada Allah SWT supaya syafaat Rasulullah SAW dapat mengiringi kita.

“Rasulullah tidak lagi bersama kita, tanpa Baginda dunia ini tidak lagi berseri. Lihat sahaja, bencana alam kian menyinggah bumi, media sosial menjadi fitnah duniawi, apatah lagi membabitka­n aktiviti golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksua­l (LGBT),” katanya.

Turut memberikan suntikan kesedaran dan menjentik emosi khalayak adalah persembaha­n khas daripada warga Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaa­n (FSSK), UKM dengan drama pendek bertajuk ‘Rasulullah Idolaku’.

Ia mengupas permasalah­an umat Islam hari ini yang hidupnya serba tidak kena, lalai dan meninggalk­an jalan kebenaran kerana Rasulullah SAW tidak dijadikan qudwah hasanah (suri teladan) dalam mengharung­i dunia yang serba mencabar.

Antara lain, pentas sambutan Maulidur Rasul UKM disemarakk­an lagi dengan persembaha­n nasyid, termasuk daripada Johan Pertanding­an Nasyid, Festival Kesenian Islam 2018, Kumpulan Lasykar Khaleefah yang menyampaik­an lagu bertajuk Khalifah.

Sementara itu, Johan ketua perbarisan perarakan Maulidur Rasul bagi kategori kolej kediaman yang dimenangi oleh Kolej Dato’ Onn, Eqmal Jamaludin, berkata kemenangan itu tidak disangka-sangka kerana persediaan dilakukan pada saat akhir.

“Kami bersyukur kerana diumumkan sebagai pemenang kerana cuma sempat melakukan persiapan tiga hari sebelum acara berlangsun­g termasuk membuat sepanduk kreatif, berlatih selawat dan kompang bersama ahli kumpulan lain seramai 60 orang.

“Apatah lagi buat julung kali kategori kolej kediaman dipertandi­ngkan untuk sambutan kali ini, ia sudah tentu memberikan lebih semangat untuk kami melakukan yang terbaik,” katanya.

Pada majlis sama, akhbar BH turut mengedarka­n poster kempen #Jomcintana­bi bersempena Maulidur Rasul kali ini, selain ada antara pelajar UKM turut mengambil peluang menyertai Peraduan Jom Selawat iaitu dengan cara memuat naik video selawat secara kreatif di media sosial termasuk Facebook dan Instagram.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia