Berita Harian

Potret Dickens ditemui selepas 150 tahun

-

London: Potret pengarang British terkenal, Charles Dickens yang hilang selama 150 tahun akhirnya dipamerkan di Muzium Charles Dickens, London selepas ditemui dalam jualan gudang di Pietermari­tzburg, Afrika Selatan awal tahun ini.

Potret itu yang kini dianggarka­n bernilai Rm1.1juta (AS$280,000) dihasilkan oleh Margaret Gillies pada 1843 ketika Dickens berusia 31 tahun. Pada tahun sama, novel klasik tulisan Dickens, A Christmas Carol diterbitka­n oleh Chapman & Hall.

Pada majlis lelongan itu, orang awam yang membeli potret berkenaan yakin ia adalah potret Dickens yang asli sebelum menghantar­nya ke London untuk ujian ketulenan.

“Sangat mengujakan ketika ia dihantar untuk ujian,” kata pemilik firma Philip Mould & Company, syarikat yang menjalanka­n ujian ketulenan potret itu, Philip Mould.

“Dickens kelihatan sangat menawan dalam potret berkenaan dengan mata coklat yang tajam seperti yang digambarka­n oleh penyair, Elizabeth Barrett Browning sebagai mata helang,” katanya.

Kali terakhir dipamer pada 1844

Potret yang memaparkan Dickens dengan rambut panjang beralun itu kali terakhir berada dalam tontonan awam ialah pada 1844 di Royal Academy of Arts di London sebelum Gillies melaporkan kehilangan­nya.

Gillies hanya membuat laporan rasmi mengenai kehilangan itu pada 1886 selepas berputus asa untuk meneruskan pencarian.

Tidak diketahui dengan tepat bilakah potret itu dibawa ke Afrika Selatan tetapi teori mengenainy­a tidak menolak kemungkina­n ia dibawa oleh ahli keluarga beliau sendiri atau Gillies ke Afrika Selatan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia