Berita Harian

New Caledonia digegar gempa magnitud 7.5

Penduduk diarah pindah, namun tiada kerosakan, kecederaan dilaporkan

-

Satu gempa bumi kuat magnitud 7.5 yang berlaku berhampira­n New Caledonia semalam, mencetuska­n amaran tsunami dan pemindahan kecemasan di sebahagian besar negara Pasifik Selatan itu, namun tiada laporan kerosakan atau kecederaan serius.

Pihak berkuasa berkata, gempa itu, diikuti sekurang-kurangnya 20 gegaran susulan kuat, berpusat sejauh 170 kilometer di tenggara Pulau Loyalty, New Caledonia pada kedalaman hanya 10 kilometer.

Penduduk kepulauan berkata, gempa awal menggoncan­g dinding bangunan dan menukar lautan kepada buih.

Ombak tsunami direkodkan bergerak keluar dari pusat gempa, menyebabka­n penduduk lari ke tempat tinggi.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik pada mulanya memberi amaran ombak setinggi tiga meter mungkin dijangka dan gempa cetek dengan magnitud itu boleh membawa kerosakan besar.

Namun pusat berkenaan kemudian melaporkan, ombak diukur pemantau di sekitar rantau itu mencapai 72 sentimeter di kepulauan Tanna, Vanuatu.

Kekuatan tsunami menurun

Pihak berkuasa pertahanan awam di sini berkata, ombak tsunami mengenai kawasan di Pulau Loyalty dan Isle of Pines, namun tidak menyebabka­n kerosakan.

“Laporan dari kawasan itu mengesahka­n, kekuatan tsunami menurun ketara dan tiada lagi risiko besar terhadap penduduk. Tiada kecederaan atau kerosakan berlaku,” kata jurucakap jabatan pertahanan awam.

Hampir tiga jam selepas gempa, pusat amaran berpusat di Hawaii itu melaporkan, ancaman berpunca daripada gempa awal kini sudah berlalu.

Beberapa gempa susulan sehingga magnitud 6.6 mengenai kawasan itu beberapa jam selepas gegaran awal, menurut Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Gempa itu mencetuska­n sistem amaran kecemasan di New Caledonia di mana penduduk menerima mesej teks kecemasan mengarahka­n mereka berlindung segera.

Terdahulu, pihak berkuasa wilayah Perancis di New Caledonia dan Vanuatu mengarahka­n penduduk berpindah ke lokasi lebih 300 meter jauh dari pantai dan jika boleh 12 meter lebih tinggi di atas paras laut.

“Berita baiknya ialah kita tidak mengalami kecederaan atau kerosakan,” kata jurucakap direktorat perlindung­an awam dan pengurusan risiko, Oliver Ciry, menambah pergerakan luar biasa laut di luar pantai timur dan sekitar Pulau Loyalty dikesan lebih awal.

 ?? [ FOTO REUTERS] ?? Penduduk berkumpul di luar ketika arahan pemindahan di Noumea, New Caledonia semalam.
[ FOTO REUTERS] Penduduk berkumpul di luar ketika arahan pemindahan di Noumea, New Caledonia semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia