Berita Harian

‘Kami menang kerana pemain sentiasa kerja keras, ikut taktikal’

-

Bangkok: Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya terus fokus dalam memburu gelaran Piala AFF selepas misi mereka menyingkir­kan juara bertahan Thailand untuk mara ke final berjaya.

Malaysia dalam landasan terbaik untuk memburu gelaran pertama sejak 2010 selepas melangkah ke final buat kali keempat menerusi peraturan gol di tempat lawan apabila seri 2-2 pada separuh akhir kedua di Stadium Nasional Rajamangal­a, di sini, malam tadi.

Halangan terakhir mereka kini sama ada Vietnam atau Filipina yang bakal berentap dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua malam ini.

Menurut Cheng Hoe, kejayaan itu adalah hasil kerja keras anak buahnya yang bermain mengikut taktikal.

“Selepas seri 1-1 pada babak pertama, kami perlu kekal tenang dalam permainan, mengekalka­n penguasaan bola dan cuba melakukan serangan balas. Kita juga perlu berhati-hati dengan gerakan set piece Thailand.

“Pemain mengikut taktikal dengan penuh disiplin pada babak kedua dan ini adalah keputusan yang menakjubka­n,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Tetap tenang

Harimau Malaya yang hanya seri 0-0 pada pertemuan pertama di Bukit Jalil, Sabtu lalu terpaksa bangkit dua kali untuk mengikat juara lima kali Thailand.

Skuad Gajah Perang mendahului pada minit ke-21 hasil jaringan sendiri Irfan Zakaria sebelum Syahmi Safari menyamakan kedudukan 1-1 menerusi rembatan Jurulatih Harimau Malaya padu pada minit ke-28.

Pasukan tuan rumah kembali di depan apabila bola sepakan percuma pemain gantian Sumanya Purisay ditanduk masuk Pensa Hemviboon di minit ke-63 sebelum Norshahrul Idlan Talaha menyamakan kedudukan 2-2 di minit ke-71.

Cheng Hoe mengakui tetap tenang walaupun Thailand yang dibimbing Milovan Rajevac mendapat sepakan penalti pada masa kecederaan yang gagal disempurna­kan oleh Adisak Kraisorn.

“Saya masih tenang dan yakin mungkin penjaga gol Farizal Marlias boleh menyelamat­kan sepakan penalti itu. Kami ada mengkaji video sepakan penalti Adisak dan saya yakin Farizal boleh buat sesuatu,” katanya.

Perlawanan akhir akan berlangsun­g pada 11 dan 15 Disember ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia