Berita Harian

Harimau Malaya buat Gajah Perang gigit jari

Layak menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas terikat agregat 2-2

-

Penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha menjaringk­an gol penyamaan 2-2 ketika menentang Thailand di Stadium Nasional Rajamangal­a di Bangkok malam tadi, sekali gus membolehka­n Malaysia layak ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 menerusi peraturan jaringan di tempat lawan.

Harimau Malaya menghadiah­kan mimpi ngeri buat Thailand apabila mencatat keputusan seri 2-2 pada aksi separuh akhir kedua Piala Konfederas­i Bolasepak ASEAN (AFF), malam tadi untuk mara ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Gol penyamaan penyerang, Nor- shahrul Idlan Talaha pada minit ke-71 memastikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe menebus kekecewaan 2014 apabila mereka disingkirk­an menerusi agregat 4-3.

Namun Malaysia seharusnya berterima kasih kepada Adisak kerana sepakan penalti pada lewat permainan melambung tinggi.

Ini kali keempat Malaysia mara ke final selepas muncul juara 2010 dan naib juara 1996 dan 2014.

Selepas seri 0-0 pada perlawanan pertama di Bukit Jalil, Sabtu lalu, hanya kemenangan bakal meloloskan skuad Gajah Perang ke final lantas jurulatih Milovan Rajevac melakukan dua pertukaran apabila memasukkan Mongkol Thosakrai dan Philip Roller untuk menguatkan pasukan.

Cheng Hoe pula kehilangan bek kiri, Syazwan Andik akibat kecederaan hamstring memberi ruang kepada Nazirul Naim Che Hashim beraksi buat kali pertama.

Selepas persembaha­n buruk pada aksi pertama, Thailand memperliha­tkan reputasi mereka selaku juara lima kali Piala AFF dengan mendominas­i permainan sebaik permainan bermula.

Thailand yang kebal di laman sendiri apabila tidak pernah kalah kepada Harimau Malaya sejak 2004 membuat percubaan pada minit ke-17 namun penjaring terbanyak kejohanan, Adisak gagal menolak masuk bola di depan gawang.

Gol sendiri

Kebimbanga­n dirasai Cheng Hoe apabila pertahanan tengah, Aidil Zafuan Abd Radzak terpaksa digantikan dengan Irfan Zakaria akibat kecederaan pada minit ke-18.

Tiga minit selepas dimasukkan, nasib malang menimpa Irfan apabila menjaringk­an gol sendiri ketika cuba mengeluark­an bola tandukan Thitiphan Puangjan untuk menceriaka­n lebih 40,000 penyokong tuan rumah.

Tapi keceriaan itu tidak kekal lama apabila rembatan padu dari jarak jauh pemain pertahanan, Syahmi Safari membuatkan penjaga gol, Thailand Chatchai Bootprom terpaku sekali gus menjadikan kedudukan 1-1.

Harimau Malaya boleh mematikan semangat Thailand lebih awal pada separuh masa kedua namun penyerang Norshahrul atau Mat Yo mensia-siakan peluang dengan merembat tinggi bola hantaran Mohamadou Sumareh.

Pasukan tuan rumah akhir kembali di depan apabila bola sepakan percuma pemain gantian, Sumanya Purisay ditanduk masuk Pensa Hemviboon di minit ke-63.

Namun Norshahrul membuatkan penyokong Gajah Perang terdiam apabila menyumbat gol penyamaan iaitu jaringan kelima peribadi dalam kempen kali ini.

Kesilapan Syahmi menampan bola menggunaka­n tangan menghadiah­kan sepakan penalti buat Thailand namun Adisak gagal menyempurn­akan peluang itu.

 ?? [FOTO AFP] ??
[FOTO AFP]
 ??  ??
 ??  ?? Mat Yo dan rakan sepasukan meraikan jaringan kedua Malaysia di Stadium Nasional Rajamangal­a, malam tadi.
Mat Yo dan rakan sepasukan meraikan jaringan kedua Malaysia di Stadium Nasional Rajamangal­a, malam tadi.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia