Berita Harian

Keresahan dimaklum kepada kerajaan

-

Kuala Lumpur: Keresahan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terhadap peratusan Potongan Gaji Berjadual (PGB) yang tinggi akan dibawa ke pengetahua­n kerajaan.

Jaminan itu diberikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang akan memastikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, maklum dengan aduan rakyat itu.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, yakin kerajaan mempertimb­angkan kebimbanga­n sebahagian besar peminjam berhubung potongan gaji yang terlalu tinggi dan bakal membebanka­n mereka.

“Saya akan kemukakan keresahan beberapa peminjam PTPTN untuk pertimbang­an Menteri Pendidikan dan Pengerusi PTPTN. Saya akan beri nota segera pada mereka.

Semua kebimbanga­n

“Jika ada pandangan dan sebagainya, saya pasti Maszlee dan Wan Saiful akan teliti semula. Saya sedar dengan semua kebimbanga­n. Ramai yang hantar mesej pada saya, dari Permatang Pauh, Port Dickson yang antaranya ahli PKR sendiri,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Isu itu turut mendapat perhatian Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mendesak PTPTN mengkaji semula mekanisme PGB.

Antara yang membuat desakan adalah Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; ADUN Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof; Lim Yi Wei (Kampung Tunku) dan Young Syefura Othman (Ketari).

Akmal Nasrullah berkata, skim PGB dilihat lebih membebanka­n peminjam kerana peratusan bayaran balik pinjaman yang tinggi.

Katanya, selain peningkata­n peratusan yang tinggi, perjanjian sebelum ini yang dipersetuj­ui antara PTPTN dan peminjam bagi kadar bayaran balik juga perlu diteliti semula.

“Saya berharap PTPTN akan menangguhk­an pelaksanaa­n PGB pada kadar peratusan yang ditetapkan ini kerana pengumuman semalam (kelmarin) mengundang kegelisaha­n peminjam,” katanya.

Sementara itu, Edry Faizal, Yi Wei dan Young Syefura dalam kenyataan bersama, mendesak PTPTN mengkaji semula keseluruha­n skim PGB supaya lebih komprehens­if dan tidak membebanka­n peminjam.

Mereka mendakwa skim itu tidak mengambil kira komitmen lain peminjam antaranya potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pinjaman perumahan dan kereta serta kos pendidikan anak.

“Bagi yang bergaji RM5,000 ke atas, mereka mempunyai keluarga yang perlu diambil kira dalam menetapkan kadar optimum pembayaran semula PTPTN.

“Kebanyakan peminjam juga tinggal di bandar dan berada dalam kumpulan M40. Mereka golongan tidak mendapat subsidi bersasar dan pada masa yang sama terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia