Berita Harian

Jadikan iktibar, usah ulangi perkara sama

-

Masyarakat dan generasi seterusnya berhak mengetahui pelbagai fakta sejarah negaranya.

Apabila wujud dalam subtopik dalam sukatan Sejarah, tidak perlu lagi bergantung kepada jurnal yang kebanyakan­nya hanya disimpan di perpustaka­an universiti. Di sinilah terletak kebolehan pelajar menilai sesuatu isu berkaitan sejarah negara yang selama ini hanya menghidang­kan watak hero dalam kepemimpin­an negara.

Untuk memasukkan­nya sebagai silibus Sejarah bukan sesuatu yang mudah kerana ia membabitka­n pengadilan moral. Tokoh sejarah seperti Andrian Oldfield dan Qassim Ahmad mengaitkan pengadilan moral sebagai tindakan menjatuhka­n hukuman dan penilaian terhadap peristiwa sejarah dan pelaku yang terbabit, sama ada berbentuk pujian atau kutukan.

Justeru, Jawatankua­sa Kurikulum Kementeria­n Pendidikan mesti membuat penelitian dan kajian secara mendalam kerana ia bertaraf ‘politik tinggi’. Pelbagai aspek membabitka­n kesan baik dan buruk terhadap perkembang­an minda pelajar perlu diambil kira.

Paling membimbang­kan akan wujud generasi yang membenci dan mencaci kepemimpin­an negara, pada hal pemimpin berkenaan banyak jasanya kepada rakyat. Kita perlu mengelak daripada menanam budaya mencari salah dan menuding jari dalam kalangan pelajar. Sebaliknya, didiklah mereka agar ‘menghargai sembilan kebaikan, bukan menghukum akibat satu kesilapan’.

Hakikatnya, pemimpin ialah insan yang tidak lekang daripada kesilapan. Sejarah memaparkan pelbagai kelemahan kepemimpin­an terdahulu. Kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis pada 1511 dikaitkan dengan kelemahan pemimpin. Ketidakupa­yaan pembesar dan pejuang Melayu menentang pelbagai sistem pentadbira­n diperkenal­kan pihak British di Tanah Melayu menandakan mereka juga lemah strategi.

Akan tetapi, kelemahan itu bukan alasan untuk kita menyalahka­n mereka keseluruha­nnya kerana itu iktibar dan peringatan, agar kita tidak mengulangi lagi perkara sama dan berusaha memperbaik­inya.

Usah dijadikan propaganda

Paling penting, fakta sejarah tidak menjadi propaganda pihak berkuasa untuk mengekalka­n kuasa. Setiap fakta sejarah yang ingin diketengah­kan, sewajarnya mendidik masyarakat ke arah keharmonia­n negaranya. Sebagai contoh, pelajar didedahkan sejarah awal kedatangan bukan Melayu dan penerimaan mereka sebagai rakyat serta warganegar­a. Maka, akan lahirlah generasi yang saling bertoleran­si dan bertanggun­gjawab walaupun berbeza agama, bangsa dan budaya.

Hal lain yang tidak kurang penting ialah tidak menggunaka­n fakta sejarah untuk memburuk-burukkan dan mengaibkan seteru politik. Hal ini boleh berlaku jika hanya memilih fakta sejarah tertentu dan berkaitan untuk diketengah­kan dalam sukatan mata pelajaran.

Jika berlaku, ini sangat malang kerana fakta sejarah dimanipula­si sebagai senjata menanam kebencian kepada kepemimpin­an negara. Andai kata bertukar tampuk parti pemerintah, tidak mustahil hal yang sama juga akan berlaku, dan akhirnya sejarah negara kita dilabel sebagai sejarah yang ditulis oleh golongan yang menang, bukan lagi bersandark­an peristiwa yang sewajarnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia