Berita Harian

40 NGO sertai majlis ikrar pertahan Kota Al-quds

-

Gombak: Empat puluh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul dalam Majlis Ikrar Mempertaha­nkan Kota Al-quds (Baitulmaqd­is) di Universiti Islam Antarabang­sa (UIA), semalam.

Majlis anjuran Yayasan Al-quds Malaysia itu diadakan genap setahun selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengiktira­f kota suci Baitulmaqd­is sebagai ibu negara Israel, yang turut menerima kritikan antarabang­sa khususnya negara Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-quds, Dr Sharif Abu Shammala, berkata pihaknya berterima kasih kepada NGO, termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan kerajaan Malaysia atas komitmen berterusan menentang penindasan terhadap rakyat Palestin.

“Kami memilih tarikh ini sama dengan tarikh Presiden AS mengisytih­arkan Baitulmaqd­is sebagai ibu negara Israel bagi menyatakan bantahan kami secara aman.

“Acara ini adalah acara simbolik untuk menyatakan kepada dunia bahawa kami bersatu dalam menentang segala usaha jahat terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam ucapan pembukaan.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir dan Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UIA, Prof Madya Dr Zulkifli Hasan dan Ustazah Al-aqsa, Zeina Amr.

Pada sidang media, Sharif berkata, pengisytih­aran oleh Trump itu menyebabka­n keadaan di Baitulmaqd­is dan Masjid al-aqsa semakin huru-hara apabila rejim zionis meningkatk­an keganasan, setiap hari.

“Mereka (Israel) juga melakukan kerja penggalian di sekeliling masjid dan saya difahamkan, kira-kira 65 terowong dibina di sana setakat ini.

“Israel sedang berusaha untuk membina bandar baharu untuk penduduk Yahudi di bawah bandar Baitulmaqd­is dan Masjid Alaqsa.

“Idea ini juga bertujuan untuk menghalau dan memusnahka­n penempatan Palestin di bandar berkenaan,” katanya.

Menentang penindasan

Sementara itu, Mohd Anuar berkata, kerajaan Pakatan Harapan komited menentang sebarang bentuk penindasan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

“Majlis ikrar ini amat bermakna kerana kita ingin mengingatk­an kepada dunia, apapun langkah yang diambil Trump itu tidak akan disokong oleh pencinta damai seluruh dunia.

“Walaupun sudah setahun beliau (Trump) umum dan sudah memindahka­n kedutaan AS ke Baitulmaqd­is, itu tidak bermakna kita akan membiarkan ini dengan mudah.

“Kita akan menentang habis-habisan dan meyakinkan semua negara pencinta kedamaian supaya jangan mengikut langkah jahat AS itu,” katanya.

Majlis bacaan ikrar itu dipimpin oleh Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim dan sebagai simbolik, Zeina turut menyerahka­n sebotol kecil mengandung­i tanah Baitulmaqd­is dan setangkai daun pokok zaiton kepada Mohd Anuar.

Walaupun tanah dilarang dibawa keluar dari kota suci itu, Ziena berkata, ia adalah simbolik ‘amanah’ dan perlu dikembalik­an ke sana apabila ia dibebaskan kelak.

 ?? [FOTO MAHZIR MAT ISA /BH] ?? Mohd Anuar (tengah) bersama Sharif Abu Shammala (kiri) dan Zulkifli (kanan) pada Majlis Ikrar Mempertaha­nkan Kota Al-quds di UIA, Gombak, semalam.
[FOTO MAHZIR MAT ISA /BH] Mohd Anuar (tengah) bersama Sharif Abu Shammala (kiri) dan Zulkifli (kanan) pada Majlis Ikrar Mempertaha­nkan Kota Al-quds di UIA, Gombak, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia