Berita Harian

Najib beri keterangan 4 jam

Siasatan pindaan Laporan Akhir Pengaudita­n 1MDB

-

Suhaila Shahrul Annuar

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi keterangan kira-kira empat jam di Ibu Pejabat Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam dipercayai berhubung siasatan pindaan Laporan Akhir Pengaudita­n 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Sejurus selesai, kenderaan yang membawa Najib dilihat keluar, kira-kira jam 2.30 petang. Terdahulu, beliau tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 10.30 pagi.

Kelmarin, bekas Ketua Pesuruhjay­a SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dirakam keterangan oleh SPRM juga bagi membantu siasatan berhubung kes sama.

Dalam pada itu, sumber memberitah­u NSTP, SPRM masih dalam proses merakam keterangan semua individu yang dikaitkan dengan isu pindaan Laporan Akhir Pengaudita­n 1MDB.

Sumber itu berkata, semua individu yang dikaitkan dengan dakwaan pindaan itu mula dipanggil sejak minggu lalu.

Katanya, antara individu yang sudah dirakam keterangan termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy; Dzulkifli; pegawai Jabatan Audit Negara serta pegawai dari Kementeria­n Kewangan.

Arah pindaan

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahka­n Najib mengarahka­n pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengaudita­n 1MDB menerusi penggugura­n beberapa perenggan.

Antara penggugura­n maklumat itu termasukla­h membabitka­n kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Menurut Madinah, antara individu yang turut terbabit dalam pindaan itu termasuk bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Salleh; Ali dan Arul.

Turut terbabit adalah wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementeria­n Kewangan, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada KSN dan bekas Pengarah Audit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia