Berita Harian

Ugut bunuh menteri kes peribadi, terpencil

Lelaki tak puas hati permohonan dapatkan bantuan kena tolak

- Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Polis menyifatka­n kejadian meletakkan bangkai seekor lembu bersama nota ugutan bunuh terhadap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, kelmarin adalah kes terpencil dan peribadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata pihaknya sudah mengambil tindakan menahan reman suspek dan siasatan sedang dijalankan.

“Ini kes terpencil, tidak ada apa-apa pun, tiada isu. Ini soal marah dan itu urusan peribadi,” katanya pada majlis perasmian penutup Program Latih Amal Ex-banjir 2018 di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah, semalam..

Letak nota bunuh

Lelaki itu meletakkan bangkai lembu dan nota ugutan di depan pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Muar, Ahad lalu, kerana tidak berpuas hati apabila permohonan­nya untuk meminta bantuan daripada Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani, ditolak.

Kelmarin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim, berkata lelaki itu ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan ugutan bunuh terhadap Salahuddin.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Pegawai Salahuddin mengesahka­n kejadian itu berlaku ketika Salahuddin tiada di pejabatnya di Muar.

Salahuddin adalah Ahli Parlimen Pulai, yang terletak di daerah Johor Bahru dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram di Muar.

 ?? [FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM /BH] ?? Mohd Khalil (dua dari kanan) beramah mesra dengan mangsa banjir pada majlis perasmian penutup Program Latih Amal Ex-banjir 2018 di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah, semalam.
[FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM /BH] Mohd Khalil (dua dari kanan) beramah mesra dengan mangsa banjir pada majlis perasmian penutup Program Latih Amal Ex-banjir 2018 di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia