Berita Harian

PH Kedah perlu elak agenda peribadi

Bergerak sebagai kerajaan campuran, demi kelangsung­an pentadbira­n negeri: Tun M

- Oleh Suzalina Halid dan Petah Wazzan Iskandar

Pakatan Harapan (PH) Kedah harus bergerak sebagai sebuah kerajaan campuran dengan gabungan kekuatan PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) demi kelangsung­an pentadbira­n di negeri itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata setiap parti komponen PH tidak seharusnya menumpukan pada kedudukan individu, sebaliknya harus mempunyai semangat kerajaan campuran bagi menjamin kedudukan PH di Kedah yang belum kukuh ketika ini.

“Kita menjadi pemerintah di Kedah kerana kemenangan dalam pilihan raya, namun demikian, kedudukan kita bukanlah begitu kuat kerana kelebihan wakil rakyat kita tidak begitu banyak.

Elak tumpu kedudukan diri

“Justeru saya berpendapa­tan bahawa kita tidak harus tumpu pada kedudukan diri sahaja, iaitu sama ada kita dapat itu atau ini, jawatan atau tidak.

“Kita kena tentukan bahawa kita bergerak sebagai satu kerajaan campuran dan bukannya parti berasingan,” katanya yang berucap melalui rakaman video pada Konvensyen Kepimpinan PH Kedah, di sini, semalam.

Konvensyen Kepimpinan PH Kedah - Kerajaan Kedah: Cabaran dan Harapan yang diadakan di Seri Mentaloon, dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, PH memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu menyamai jumlah kerusi dimiliki pembangkan­g PAS (15) dan UMNO (3).

Namun, susulan pengumuman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak dari UMNO, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail menyertai BERSATU kelmarin, PH kini mempunyai 19 kerusi DUN.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, beliau khuatir jika setiap parti dalam PH Kedah menumpukan agenda peribadi, perpaduan tidak akan berjaya dicapai, sekali gus berisiko melemahkan pentadbira­n sedia ada.

“Saya berharap konvensyen yang diadakan ini dapat menumpukan kepada kerjasama dalam PH dan bukannya agenda untuk kepenti- ngan kedudukan individu dalam parti.

“Kalau kita tidak boleh bekerjasam­a, saya yakin kita tidak akan menjadi kerajaan lama, namun jika sebaliknya, saya yakin tidak akan ada masalah dihadapi oleh Kerajaan Kedah,” katanya.

Yakini Dr Mahathir

Sementara itu, Ku Abd Rahman menegaskan keputusann­ya menyertai BERSATU mempunyai asas yang kukuh seperti mana keputusann­ya menyertai UMNO pada tahun 1973.

“Saya ada asas tersendiri kenapa saya sertai BERSATU. Dulu saya masuk UMNO pun disebabkan asas yang saya pegang sekarang iaitu agama, bangsa dan negara.

“Tindakan menyertai BERSATU juga atas faktor keyakinan saya kepada Dr Mahathir yang mampu memimpin parti dan negara dengan baik.

“Keyakinan ini sama dengan apa yang saya rasakan apabila menyertai UMNO. Kepemimpin­an BERSATU kini mempunyai asas dan perjuangan yang sama seperti UMNO,” katanya kepada NSTP, semalam.

Sertai BERSATU Selasa lalu

NSTP sebelum ini melaporkan, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, memaklumka­n Ku Rahman yang mengumumka­n keluar UMNO dan menjadi ADUN Bebas, sudah menjadi ahli BERSATU.

Menteri Besar Kedah itu berkata, Ku Rahman yang pernah menjadi EXCO kanan ketika pentadbira­n kerajaan Barisan Nasional (BN) itu, ada menghantar borang keahlian baru-baru ini.

Beliau ketika ditanya mengenai bila borang permohonan­nya dihantar, Ku Rahman memaklumka­n, borang itu dihantar ke pejabat Mukhriz pada Isnin lalu.

“Dalam tempoh sehari, saya sudah menerima pemakluman melalui e-mel bahawa permohonan saya diterima berkuat kuasa Selasa lalu,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia