Berita Harian

JBPM bantu persiapan perkahwina­n Adib

-

Nilai: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan membantu keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, anggotanya yang parah dipukul dalam insiden di hadapan kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya, membuat persiapan perkahwina­nnya yang dijangka diadakan hujung bulan ini.

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohamad Hamdan Wahid, berkata jabatan bersedia menyalurka­n apa juga bentuk bantuan yang diperlukan oleh keluarga Muhammad Adib, 24, bagi melancarka­n majlis bersejarah itu.

“JBPM akan berhubung dengan keluarga mangsa untuk mengenal pasti jenis bantuan yang diperlukan. Kami akan membantu sedaya upaya untuk meringanka­n beban keluarga agar majlis itu dapat dijayakan dengan lancar,” katanya.

Muhammad Adib yang berasal dari Kedah dijadualka­n berkahwin pada 21 Disember ini bersama pasanganny­a, Nurul Najihah Mohd Radzi, 25.

Ditanya sama ada tarikh perkahwina­n itu mungkin ditunda berikutan keadaan Muhammad Adib yang masih kritikal dan sedang mendapatka­n rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Mohamad Hamdan berkata, pihaknya akan merujuk perkara itu kepada keluarga mangsa.

“Sekiranya pihak keluarga masih mahu meneruskan majlis perkahwina­n itu pada tarikh yang telah ditetapkan, kami akan memberikan bantuan diperlukan.

Pastikan kebajikan anggota dijaga

“Kita akan sentiasa memastikan kebajikan anggota dijaga,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri program Bicara Tokoh Achieving High Perfomance Fire Organisati­on: The X Factors

di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, semalam.

Yang turut hadir, Naib Canselor USIM dan Penolong Kanan Pesuruhjay­a Bomba Kehormat, Profesor Datuk Dr Musa Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Amer Yusof dan Pengarah Bomba Negeri Sembilan, Norazam Khamis.

Sementara itu, Mohamad Hamdan berkata, Muhammad Adib sudah menunjukka­n perkembang­an positif selepas menukar sistem sokongan kepada mesin Extracorpo­real Membrane Oxygenatio­n (ECMO) yang membantu fungsi paru-paru, pada Ahad lalu.

“Beliau masih tidak boleh memberi reaksi verbal disebabkan mulutnya masih dipenuhi dengan tiub.

“Bagaimanap­un, beliau sudah boleh memberikan isyarat tangan tanda memahami komunikasi dan memberi reaksi yang lain ketika diminta berbuat demikian dan kami yakin, dengan bantuan pasukan perubatan dan doa dari semua, beliau akan kembali pulih walaupun berkemungk­inan mengambil sedikit masa,” katanya.

Mohamad Hamdan berkata, pihaknya telah memanggil lapan orang anggota bomba yang terbabit dalam kejadian itu pada satu sesi pertemuan yang diadakan pada minggu lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia