Berita Harian

Kes Najib, Irwan dipindah ke Mahkamah Tinggi

-

Kuala Lumpur: Kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaha­raan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berhubung dakwaan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM6.6 bilion dipindahka­n ke Mahkamah Tinggi.

Pesuruhjay­a Kehakiman, Datuk Rozana Ali Yusof, membenarka­n permohonan itu selepas mendengar permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib.

Bagaimanap­un, tarikh bagi pengurusan kes itu akan ditetapkan kemudian.

Muhammad Shafee memberitah­u mahkamah, dua kes membabitka­n Najib sebelum ini sudah dipindahka­n ke Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, pihak pendakwaan juga tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan mereka dan memaklumka­n alasan untuk memindahka­n kes itu antara lain adalah untuk mempercepa­tkan proses keadilan.

Peguam, Datuk K Kumaraendr­an yang mewakili Irwan juga mengguna pakai alasan sama untuk memindahka­n kes membabitka­n anak guamnya.

Sebutan semula kes 18 Disember

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin, tidak mengemukak­an sebarang bantahan.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen menetapkan 18 Disember ini untuk sebutan semula kes sama.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farez Rahman.

Pada 25 Oktober lalu, Najib dan Mohd Irwan Serigar, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas enam pertuduhan pecah amanah milik wang kerajaan berjumlah lebih RM6.6 bilion.

Bagi tuduhan pertama dan kedua, Najib dan Mohd Irwan Serigar didakwa bersama atas kapasiti Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaha­raan, Kementeria­n Kewangan yang diamanahka­n dengan penguasaan ke atas harta, iaitu berjumlah RM1.2 bilion dan RM655 juta milik Kerajaan Malaysia melakukan pecah amanah ke atas harta berkenaan.

Bagi tuduhan ketiga pula, mereka didakwa melakukan pecah amanah ke atas harta berjumlah RM220 juta, iaitu peruntukan di bawah Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmat­an Am Perbendaha­raan, Aktiviti 021700 KL Internatio­nal Airport Berhad (KLIAB), milik Kerajaan Malaysia.

Tuduhan keempat, kedua-dua mereka didakwa pecah amanah harta berjumlah RM1.3 bilion iaitu peruntukan di bawah Maksud B11 Perkhidmat­an Am Perbendaha­raan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai, milik kerajaan.

Tuduhan kelima dan keenam pula membabitka­n pecah amanah ke atas harta berjumlah RM1.26 bilion dan RM2 bilion milik kerajaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia