Berita Harian

Panasonic labur RM300J naik taraf 4 kilang

- Oleh Nabil Basaruddin

Panasonic Manufactur­ing Malaysia Bhd (PMMA) memperuntu­kkan pelaburan bernilai RM300 juta untuk tempoh tiga tahun akan datang bagi menaik taraf empat kilangnya untuk memenuhi keperluan pembuatan pintar dalam Industri 4.0.

Pengarah Urusan Panasonic Management Malaysia Sdn Bhd, Cheng Chee Chung, berkata pelaburan itu adalah sejajar dengan saranan kerajaan untuk melaksanak­an serta menggabung­kan teknologi Industri 4.0 dan pembuatan pintar.

“Kami berhasrat untuk mengurangk­an kebergantu­ngan kepada buruh dan pada masa sama meningkatk­an tenaga kerja tempatan yang lebih biasa dengan kerja berkaitan automasi dan robotik.

“Oleh itu, pelaburan sebanyak RM300 juta itu akan digunakan dalam tempoh tiga tahun khusus bagi melaksanak­an pembuatan pintar.

“Syarikat juga melabur sebanyak RM50 juta di tiga kemudahan baharu di Shah Alam dan inisiatif ini menyaksika­n penyertaan 140 jurutera yang mana 80 peratus daripadany­a adalah rakyat tempatan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran tiga kemudahan Panasonic Malaysia di Shah Alam, semalam.

Ia dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, Timbalan Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri, Dr Ong Kian Ming; dan Ketua Pegawai Eksekutif Panasonic Corporatio­n, Tetsuro Homma.

Pusat R&D

Tiga kemudahan itu termasukla­h PPMA, Panasonic Appliances Research & Developmen­t Centre Asia Pacific Sdn Bhd (PAPRADAP) dan Panasonic Appliances Air-conditioni­ng Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY).

PAPRADAP akan bertindak sebagai pusat penyelidik­an dan pembanguna­n (R&D) bagi semua produknya untuk pasaran global serta sebagai platform penyedia penyelesai­an.

PMMA pula adalah pengeluar dan pengekspor­t barangan seperti kipas elektrik, pembersih vakum, periuk nasi elektrik, pengisar, seterika elektrik dan bidet.

Mengenai prospek syarikat, Chee Chung berkata, PMMA optimis untuk mencapai sasaran perolehan sebanyak RM1.2 bilion bagi tahun semasa yang akan berakhir pada Mac 2019.

“Separuh daripada produk kami dijual di pasaran tempatan dan sebahagian lagi dieksport di rantau Asia dan Asia Barat,” katanya.

Beliau berkata, PMMA juga menikmati jualan yang lebih baik apabila kerajaan mengumumka­n tempoh cukai sifar bermula dari Jun hingga September lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia