Berita Harian

Sindiket tipu tanam durian Musang King kaut RM3.19J

Lima suspek dalang kegiatan pelaburan ditahan polis

- Oleh Junaidi Ladjana

Polis menahan lima lelaki disyaki dalang sindiket penipuan pelaburan penanaman durian Musang King di Sipitang membabitka­n kerugian bernilai RM3.197 juta.

Pesuruhjay­a Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata polis menerima laporan pertama daripada seorang mangsa pada 28 November lalu yang mengatakan ditipu sebuah syarikat pelaburan yang dipercayai beroperasi di Melaka.

“Mangsa mengatakan ditipu sebanyak RM8,400 dengan memasukkan wang pelaburan ke atas satu penama warga tempatan.

“Hasil siasatan mendapati, setakat ini, sebanyak 155 laporan polis diterima dan kerugian yang dicatatkan adalah bernilai RM3,197,465 juta.

“Dijangkaka­n, selepas ini laporan polis akan bertambah,” katanya selepas Majlis Perhimpuna­n Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, di sini, semalam.

Omar berkata, siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPK Sabah membolehka­n empat suspek ditahan di sekitar bandar raya ini, manakala seorang suspek di Gombak, Selangor.

Taktik promosi

“Kelima-lima suspek berusia 25 hingga 36 tahun. Sindiket ini mula beroperasi pada Ogos lalu dan aktif November lalu.

“Taktik sindiket ini adalah membuat promosi di media sosial seperti Facebook, Whatsapp dan Telegram. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Dalam kes berasingan, Omar berkata, pihaknya menahan dua wanita warga tempatan pada 25 dan 26 November lalu kerana disyaki mendalangi sindiket penipuan tiket penerbanga­n membabitka­n kerugian RM162,285.

Beliau berkata, kedua-dua wanita berusia 33 dan 37 tahun Pesuruhjay­a Polis Sabah ditahan di bandar raya ini susulan laporan polis dibuat seorang mangsa pada 23 November lalu yang mendakwa tidak menerima tiket tambang murah dibeli daripada wanita itu membabitka­n kerugian RM6,000.

“Siasatan lanjut mendapati sindiket penipuan itu bergiat aktif di seluruh daerah di Sabah sejak Ogos lalu dan setakat ini 71 laporan polis dibuat membabitka­n kerugian RM162,285.

Lantik ejen bebas

“Semua penipuan membabitka­n penerbanga­n di dalam negara. Sindiket ini juga melantik beberapa ejen bebas dan menawarkan komisen kepada ejen sekiranya berjaya mendapat pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan dan seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitka­n sindiket pelaburan emas dan pernah dipenjara dua tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Saya menasihatk­an orang awam agar berwaspada membeli tiket kapal terbang daripada syarikat yang betul saja, pastikan syarikat itu wujud dan sah,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia